Pemilik syarikat pelancongan antara 5 ditahan tipu pakej haji


  • 112
  • Sabtu, 09 Jul 2022

Lebih 300 bakal jemaah haji terkandas di KLIA, Sepang pada Khamis disyaki menjadi mangsa penipuan syarikat pelancongan. — Sinar Harian

LIMA individu termasuk pemilik sebuah syarikat pelancongan diberkas di sekitar ibu negara dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada Jumaat untuk siasatan kes bakal jemaah haji yang disyaki menjadi mangsa penipuan.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, tangkapan dibuat bermula pukul 6 petang hingga pukul 12 tengah malam.

Menurutnya, polis sedang merekod keterangan kesemua lima individu berusia 30 hingga 50 tahun itu.

"Lima tangkapan ini terdiri daripada dua lelaki dan tiga wanita termasuk seorang pemilik syarikat pelancongan itu dan ejen.

"Setakat ini, terdapat 23 laporan polis diterima di seluruh Kuala Lumpur melibatkan kerugian kira-kira RM760,000," katanya pada Sabtu.

Beliau berkata, kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Pada Khamis, media tempatan melaporkan kira-kira 380 bakal jemaah haji terkandas di KLIA sejak pagi Khamis dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan.

Mereka yang berkumpul di Aras 5, Balai Pelepasan KLIA dipercayai menggunakan visa furada untuk menunaikan haji dan tidak melalui Lembaga Tabung Haji (TH). — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram