POLIS Menteng Metro di Indonesia akan menghalau sekumpulan remaja berasal dari Citayam yang didapati sering melepak di kawasan Jalan Sudirman atau Dukuh Atas, Menteng, Jakarta, jika mereka didapati masih berada di situ selepas pukul 10 malam waktu tempatan.
Tindakan tersebut selaras dengan perlaksanaan Pembatasan Kegiatan Masyarakat tahap satu (PPKM Level 1) yang sedang dilaksanakan di Indonesia.
Selain itu, polis juga berpendapat bahawa kehadiran sekumpulan remaja berkenaan dikhuatiri akan menimbulkan gangguan keselamatan dan ketertiban masyarakat setempat.
"Kami menjangkakan gangguan keselamatan. Manusia ni, semakin lewat malam, semakin negatif fikirannya," kata Ketua Polis Metro Menteng, Kompol Netty Rosdiania Siagian.
Biarpun begitu, Netty mengakui masih belum ada aduan dilaporkan daripada masyarakat setempat berkenaan masalah yang ditimbulkan golongan remaja tersebut.
"Polis bertanggungjawab ke atas keselamatan masyarakat setempat. Kami menjangkakan apa yang akan berlaku, kami tidak peduli pendapat masyarakat mengenai tindakan menghalau tersebut.
"Jakarta adalah kawasan ibu kota. Kawasan tersebut perlu sentiasa nampak aman dan tenang. Bukan tidak boleh lepak, cuma tidak boleh melepasi pukul 10 malam. Itu sahaja," katanya.—Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram