'Jadikan 5 legenda Selangor sebagai staf jurulatih'


  • Podium
  • Sabtu, 09 Jul 2022

Pengurusan FAS dilihat masih menaruh keyakinan dengan kredibiliti Feichtenbeiner sebagai jurulatih. — Selangor FC

KEJAYAAN Selangor FC layak ke suku akhir Piala FA selepas menewaskan Kuala Lumpur (KL) City 1-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Jumaat belum cukup memuaskan hati penyokong terhadap prestasi semasa jurulatih Gergasi Merah, Michael Feichtenbeiner.

Rata-rata penyokong masih lagi mendesak pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) untuk segera menukar pengemudi pasukan itu yang terkenal dengan projek DNA Jermannya.

Pemerhati sukan, Mohd Khairul Syafiq Aminuddin berpendapat, FAS seharusnya melantik lima bekas legenda Selangor untuk berkhidmat sebagai staf jurulatih bagi membantu menaikkan semula reputasi skuad yang pernah menjulang Piala Malaysia sebanyak 33 kali itu.

Menurutnya, gabungan dua legenda tempatan, Nidzam Jamil dan Rusdi Suparman boleh memantapkan lagi skuad Merah Kuning manakala Razman Roslan, Shahrom Kalam, Asmawi Bakiri pula sesuai untuk mengendali skuad Selangor FC II.

"Ternyata tiga tahun ini tiada perubahan drastik yang telah dilakukan. Pengenalan DNA (Jerman) ternyata bukan langkah bijak.

"Pasukan kejurulatihan Jerman disingkirkan? Saya setuju. Memandangkan kita masih ada jurulatih tempatan dalam kem.

"Nidzam boleh ambil alih dulu. Kemudian Rusdi boleh jadi pembantunya. Kita lihat dulu hasilnya. Saya suka tengok kalau pasukan kejurulatihan kita didominasi oleh bekas pemain-pemain Selangor yang bermain pada zaman kegemilangannya.

"Kalau dapat tarik Razman, Shahrom Kalam dan Asmawi tengok budak-budak Selangor II, menarik juga. Mungkin bukan sekarang, tetapi nanti akan datang. Selepas mereka dah cukup syarat dan ada lesen," katanya menerusi akaun Facebook.

Dalam pada itu, Mohd Khairul berpendapat, pembubaran pada peringkat pengurusan hanya perlu dilakukan sekiranya FAS sudah ada calon pengganti yang terbukti bagus dan berkaliber.

Tambahnya, semenjak Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin memegang tampuk pimpinan, terdapat peningkatan yang wajar diambil kira.

"Masalahnya, siapa kat Selangor yang pandai selok belok pengurusan bola? Saya hanya peminat, bukan dalam industri bola.

"Tapi bagi saya, dari segi pengurusan, sejak RMS pegang ada nampak peningkatan. Cuma saya rasa team CEO sekarang ini hanya padu pada benda-benda luar padang.

"Dulu kita tak ada tempat latihan, jersi pun susah nak beli, kita juga tiada media untuk salurkan info. Tapi lepas pengurusan ini ambil alih, ada peningkatan yang perlu kita akui.

"Cadangan saya, kekal sebahagian pasukan pengurusan yang ada sekarang untuk urusan luar padang dan lantik beberapa orang berkepentingan seperti yang saya kata tadi untuk fokus atas padang," luahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram