Seriau gajah bikin 'road block' ketika pulang beraya di Jeli


  • Tular
  • Sabtu, 09 Jul 2022

Tangkap layar video yang memaparkan seekor gajah cuba mengganggu pengguna jalan raya di Jeli, Kelantan.

PASANGAN suami isteri berdepan detik cemas apabila seekor gajah tiba-tiba menerpa ke arah mereka di Kampung Jeli, Kelantan.

Menerusi video berdurasi lebih seminit itu, gajah dewasa yang mempunyai gading itu berada di tengah jalan dan cuba menganggu sebuah kenderaan di hadapan.

Gajah itu kemudian telah menolak cermin sisi kenderaan di hadapan sehingga patah sebelum kereta itu memecut meninggalkan haiwan tersebut.

Kemudian, gajah itu telah menerpa ke arah kereta mangsa pula.

Individu yang memuat naik rakaman tersebut, Fazliwati Abbas berkata, dia tidak menyangka akan berdepan dengan kejadian tersebut.

"Mujur ALLAH jaga keluarga. Kereta Grand Livina di depan tu gajah dah angkat kaki. Kereta saya pula kemek sikit sahaja kena belalai gajah itu," katanya.

Sementara itu, warganet, Mimie Mazlan berkata, sudah beberapa kali gajah muncul di laluan tersebut namun tidak kelihatan pihak berkaitan yang mengawasi kawasan tersebut.

Rubi Kee pula berkata, apa yang penting ialah pemandu tidak membunyikan hon kereta kerana khuatir haiwan itu akan rasa terancam dan mula menyerang.

Belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa berhubung perkara itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram