Jawi, Crackhouse Comedy Club respons isu wanita Melayu tanggal baju, hina Islam


  • Massa
  • Sabtu, 09 Jul 2022

Tangkap layar rakaman tular seorang wanita didakwa menghina agama Islam di sebuah kelab di TTDI. — Facebook

CRACKHOUSE Comedy Club (CH) mengutuk sekeras-kerasnya satu rakaman video yang kian tular di media sosial yang memaparkan seorang individu melakukan persembahan yang dikatakan menghina agama Islam di premis berkenaan.

Kelab itu dalam satu kenyataan berkata, pihaknya melarang individu berkenaan daripada kembali ke Crackhouse Comedy Club selepas persembahan tersebut.

"Crackhouse Comedy Club memfailkan laporan polis mengenai insiden ini di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur," katanya dalam satu kenyataan.

WhatsApp Image 2022-07-09 at 4.01.28 PM

Kenyataan daripada Crackhouse Comedy Club. — Facebook

Terdahulu Majoriti melaporkan umat Islam di negara ini digemparkan dengan penularan satu rakaman video menunjukkan seorang wanita yang mengaku menghafal 15 juzuk al-Quran didakwa menghina agama Islam di sebuah kelab di TTDI.

Wanita yang memperkenalkan dirinya sebagai Siti Amira Abdullah dan berasal dari Kuala Kangsar itu didakwa mempermainkan agama Islam semasa membuat persembahan komedi di kelab tersebut.

Siti Amira atau dikenali sebagai Amy membuat kejutan apabila dia yang tampil sopan mengenakan tudung dan baju kurung Kedah tiba-tiba menanggalkan pakaian itu hadapan khalayak ramai.

Dia dilihat mengenakan baju seksi bertali halus (spaghetti strap) berwarna hitam dan skirt singkat paras paha berwarna coklat.

Dalam pada itu, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) mengambil maklum berkenaan video tular dipercayai perbuatan menghina kesucian agama Islam yang dilakukan di sebuah kelab sekitar Taman Tun Dr. Ismail baru-baru ini.

Pengarahnya, Datuk Mohd. Ajib Ismail berkata, siasatan awal telah dilaksanakan oleh Bahagian Penguatkuasaan Jawi.

photo1657354133

Kenyataan daripada Jawi berhubung isu tular wanita menghina Islam di Crackhouse Comedy Club. — Facebook

Beliau berkata, tindakan boleh diambil mengikut di bawah Akta 559 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Wilayah Persekutuan) 1997, Seksyen 7 iaitu menghina, atau menyebabkan dipandang hina agama Islam.

“Jika didapati bersalah pelaku boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

“Jawi sama sekali tidak akan berkompromi dengan sebarang perbuatan yang bertujuan menghina dan mencemarkan imej serta kesucian Islam khususnya yang berlaku di Wilayah-Wilayah Persekutuan lebih-Lebih lagi menjelang ketibaan Hari Raya Aidiladha yang mulia,” katanya menerusi kenyataan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram