Nafuzi waspada momentum AFC Kedah, tagih keterujaan Kipre-Kpah


  • Podium
  • Rabu, 06 Jul 2022

Kali terakhir kedua-dua pasukan ini bertemu adalah dalam aksi Liga Super pada 21 Ogos tahun lalu.

MOMENTUM Kedah Darul Aman (KDA FC) yang layak ke separuh akhir Zon Asean Piala AFC dilihat bakal memberi kesukaran kepada pasukan Terengganu FC (TFC) menjelang pertemuan pusingan kedua Piala FA pada Rabu.

Pengendali TFC, Nafuzi Zain juga mengakui memang sukar buat pasukannya bila melihat momentum yang dimiliki KDA FC.

"Walaupun begitu, saya rasa ini adalah peluang terbaik untuk TFC dan apa yang utama adalah untuk kita menyelesaikan tugas," katanya kepada MFL.

Sementara itu, mengulas mengenai dua tonggak utama TFC, Kipre Tchetche dan Kpah Sherman yang bakal menentang bekas pasukan mereka, Nafuzi berkata, kedua-dua pasukan mempunyai kelebihan.

"Saya faham situasi bola mereka bermain menentang bekas pasukan sebelum ini. Pastinya mereka lagi teruja hendak bermain.

"Mereka tahu bagaimana cara permainan KDA FC dan begitu juga dengan pasukan lawan juga tahu bagaimana permainan Kpah dan Kipre," katanya.

Tambahnya, kedua-dua pasukan mempunyai kelebihan tetapi apa yang penting ialah strategi permainan TFC untuk menewaskan KDA FC.

Untuk rekod, kali terakhir TFC meraih Piala FA adalah pada 2011 manakala KDA FC pula menyandang juara pada 2019.

Rekod terakhir pertembungan antara kedua-dua pasukan adalah menerusi saingan Liga Super pada 21 Ogos musim lalu yang menyaksikan KDA FC menewaskan TFC 2-1 melalui jaringan Rabih Ataya dan Syazwan Zainon sementara gol TFC disumbangkan oleh Arif Fadzilah.

Selepas aksi Piala FA, kedua-dua pasukan akan kembali bertemu dalam aksi Liga Super pada 15 Julai. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram