SEORANG YouTuber ditahan polis susulan video yang memaparkannya bertindak melakukan 'prank' dengan menarik tudung dua wanita yang dimuat naik ke saluran Youtube bernama nickchannel.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, penangkapan suspek yang berusia 24 tahun itu dilakukan kira-kira pukul 7.30 malam pada Selasa.
"Kita telah menerima satu laporan polis yang dibuat berkaitan penyebaran klip video tersebut dan tindakan dalam video itu juga telah menimbulkan kegusaran masyarakat.
"Suspek telah dituduh di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Rabu," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Tambahnya, polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang rakaman dan penyebaran video dengan isi kandungan yang boleh mendatangkan kegusaran masyarakat serta menyentuh sensitiviti pada masa akan datang.
Terdahulu, suspek difahamkan telah membuat permohonan maaf di atas keterlanjuran memuat naik video tersebut di saluran YouTube miliknya menerusi akaun yang sama sejurus selepas tercetusnya kontroversi.
Menerusi video yang sama, dua wanita yang terlibat dalam video ‘prank’ tarik tudung itu juga turut tampil memohon maaf kepada mereka yang tersinggung sebaik sahaja menonton rakaman tersebut.
Lelaki itu turut menjelaskan bahawa dua wanita yang terlibat dalam video kontroversi itu merupakan rakannya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram