BERITA mengenai penemuaan mayat seorang wanita hamil empat bulan dan ibu mentuanya saling berpelukan dalam kejadian banjir di Kedah pada Selasa lalu sudah cukup meruntun jiwa sesiapa sahaja yang membacanya.
Oleh itu, sesiapa yang mempunyai keluarga di daerah tersebut sudah tentu resah dengan nasib yang bakal menimpa keluarga mereka pada bila-bila masa sahaja.
Perasaan tersebut turut dikongsi pemain bola sepak Kedah Darul Aman (KDA) FC, Fayadh Zulkifli yang kini berada di Terengganu bagi menyertai perlawanan pusingan kedua Piala FA menentang Terengganu FC (TFC).
Meskipun mengakui bimbang dengan keadaan keluarganya di Kedah, pemain berusia 23 tahun tersebut memegang kata-kata semangat ibu bapanya yang berada di Kampung Sadek, Kupang, Kedah.
"Alhamdulillah, rumah saya hanya kena tempias banjir dan air cuma naik paras buku lali. Tapi keluarga saya cakap, kalau hujan masih tidak berhenti dalam dua jam, tak mustahil naik ke paras pinggang.
"Selang empat rumah saya adalah tebing sungai. Tapi air sungai itu tidak melimpah teruk lagi. Saya bersyukur masih boleh berhubung dengan mak dan ayah.
"Sudah tentu, saya risau tentang keadaan semasa mereka. Tapi, mereka pesan suruh saya fokus main bola. Tak payah risau pasal keadaan mereka," katanya kepada Majoriti.
Banjir di Kedah menyebabkan kerosakan harta bendayang parah. —Bernama
Dalam pada itu, pemain harapan pasukan Sang Kenari itu turut meminta orang ramai agar menghulurkan bantuan melalui saluran-saluran yang sahih bagi meringankan beban mangsa banjir.
"Secara peribadi, saya ada seorang kawan yang rumahnya dipenuhi air banjir sampai ke paras dada. Saya tahu dia bukan orang senang, jadi musibah ini pasti satu beban bagi dia.sekeluarga.
"Oleh itu, saya harap orang ramai sudi membantu dengan menyalurkan bantuan. Boleh beri mereka keperluan asas sebab saya yakin. Mereka sangat-sangat memerlukannya,"katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram