GARA-GARA rancak berbual dan tidak mematuhi Garis Panduan & Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan, pegawai Kereta Api Rel Elektrik (KRL) Indonesia terpaksa mengusir tiga penumpang pengangkutan awam tersebut.
Video tular yang merakamkan detik-detik tiga lelaki itu diturunkan dari kereta api dirakam oleh seorang lagi penumpang yang berada dalam gerabak yang sama ketika itu.
Insiden tersebut terjadi di Stesen Manggarai, Tebet, Jakarta, Indonesia pada Isnin iaitu kira-kira pukul 12.19 tengahari waktu Malaysia.
Berdasarkan penerangan oleh pemuat naik video, tiga penumpang itu sebelum ini pernah ditegur di Stesen Tanah Abang kerana berbual di dalam tren.
Rakaman tiga penumpang itu dihalau oleh pegawai pengangkutan awam itu.
Bagaimanapun, apabila petugas kembali membuat rondaan, ketiga-tiga penumpang itu terus berbual sehingga mengganggu penumpang lain.
Tidak menerima teguran, lelaki itu berang dan enggan diturunkan sehingga menimbulkan kekecohan.
Malah, lelaki itu juga melenting saat mengetahui bahawa aksi meraka dirakam oleh penumpang lain.
"Kau kenapa, kenapa rakam?" kata salah seorang dari tiga lelaki itu sambil menunjuk ke arah perakam.
“Sudah turun sahaja,” kata penumpang lain.
Selepas kekecohan itu, akhirnya ketiga-tiga penumpang itu diturunkan secara paksaan oleh petugas.
Dalam pada itu, Pengurus Perhubungan Luar & Penjagaan Imej Korporat Komuter KAI, Leza Arlan sebagai wakil KRL mengesahkan kejadian itu.
“Petugas keselamatan Komuter KAI menurunkan tiga lelaki itu di Stesen Manggarai kerana mereka menganggu keselesaan penumpang lain,” kata Leza menerusi kenyataan pada Selasa.
Leza juga menasihatkan semua penumpang supaya mematuhi SOP tidak berbual sepanjang berada di KRL.
"KAI Komuter merayu kepada semua pengguna KRL untuk tidak bercakap sehala atau dua hala melalui telefon atau berhadapan sepanjang perjalanan. Teruskan mematuhi SOP kesihatan yang ditetapkan," kata Leza. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram