Ingatkan gaji lumayan, rupanya kena renjat elektrik ditipu sindiket Kemboja


  • Massa
  • Rabu, 06 Jul 2022

Chon Siang (kanan) menunjukkan gambar ketika beliau menemui mangsa di Kemboja, baru-baru ini. — Sinar Harian

HASRAT seorang lelaki berusia 25 tahun untuk mendapatkan pekerjaan yang memberikan gaji lumayan di luar negara berakhir detik hitam, apabila menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran kerja di Kemboja.

Bapa mangsa dikenali sebagai Christopher, 56, berkata, beliau bimbang dengan keselamatan anak lelakinya selepas ditipu sindiket berkenaan dan berharap anaknya dapat kembali ke tanah air.

"Anak saya ke luar negara pada 7 Mei lalu, beberapa hari kemudian saya menerima panggilan daripadanya memaklumkan dia telah ditipu sindiket dan dipaksa bekerja di Kemboja.

"Selepas seminggu, sindiket itu menghubungi dan meminta wang sebanyak RM100,000 untuk membebaskan anak saya," katanya pada sidang akhbar di ibu negara pada Rabu.

Menurut Christopher, dia telah meminta bantuan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teruntum, Sim Chon Siang bagi membolehkan anaknya dapat pulang ke tanah air.

Sementara itu, Chon Siang berkata, beliau berjaya menghubungi pihak berkuasa di Kemboja untuk membantu menyelamatkan mangsa.

"Mangsa kini ditempatkan di depoh Imigresen Kemboja kerana masuk ke negara itu secara haram," katanya.

Chon Siang menambah, pihaknya menjangkakan mangsa akan pulang dalam tempoh tiga bulan setelah semua urusan termasuk imigresen selesai.

"Saya juga telah pergi ke Kemboja pada minggu lalu dan berjaya menemui mangsa.

"Saya berterima kasih atas bantuan daripada pihak berkuasa Kemboja serta Kedutaan Malaysia di negara itu," ujarnya.

Beliau memberitahu, berdasarkan maklumat diterima, pada masa ini dianggarkan hampir 90 rakyat Malaysia berada di Kemboja dan dikerah untuk menjadi agen sindiket penipuan dalam talian.

Katanya, mangsa disyaki akan diseksa dengan renjatan elektrik sekiranya gagal mencapai sasaran sindiket. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram