TMJ suka 'game' waktu siang, tapi ada 2 faktor besar jadi penghalang


  • Podium
  • Ahad, 03 Jul 2022

Bermain bola pada waktu siang di Malaysia dikhuathiri boleh terkena strok haba — JDT

SEPERTI kita sedia maklum, perlawanan Liga Malaysia (Liga M) selalunya diadakan pada waktu malam dan jarang diadakan pada waktu siang.

Namun, pemilik Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengakui suasana perlawanan Liga M akan bertambah menarik jika dilangsungkan waktu siang.

Selain memberi peluang buat penyokong untuk hadir beramai-ramai ke stadium di waktu siang yang lebih panjang berbanding malam, katanya, ia juga dapat beri pilihan waktu siaran langsung yang lebih pelbagai.

Malah katanya, aksi di siang hari akan membawa suasana seperti di Eropah yang lebih baik dan jelas.

"Saya tiada kuasa berkenaan hal itu, itu keputusan MFL (Liga Bolasepak Malaysia) untuk menentukan itu (beraksi di waktu siang).

"Kalau ikut saya...saya suka perlawanan waktu petang, kalau ikut hati saya ikut macam di ACL (Liga Juara-Juara Asia) kerana saya rasa macam di Eropah (suasana)," katanya.

Cuaca Eropah berbeza

290761890_2327640754065877_1544400855893076732_n

Cuaca waktu siang di Eropah adalah berbeza dengan Malaysia. — JDT

Tampil mengulas kenyataan itu, Mohd Sadek Mustafa berkata, cuaca waktu siang di Eropah adalah berbeza dengan waktu siang di Malaysia.

Pemerhati bola sepak tempatan itu berkata, meskipun bermain pada waktu siang, pasukan Eropah tidak melakukan perkara itu pada musim panas.

Sebaliknya, katanya, pasukan Eropah bermain bola sepak pada penghujung musim bunga, awal musim luruh dan musim sejuk.

"Jadi, suasana agak berbeza. Kalau kita lihat dekat Malaysia kalau nak main waktu siang kita perlu main dalam pukul 4 petang.

"Kita tak boleh main pukul 3.30 petang dengan cuaca sekarang, kita akan kena strok haba," katanya kepada Majoriti.

Penonton tidak selesa

177851913_185279053433453_6770368403000040203_n

Penonton Malaysia didakwa tidak akan berjemur di bawah panas terik matahari. — Kedah Darul Aman FC

Tambahan pula, Mohd Sadek berkata, kebanyakan penonton Malaysia jemu dengan cuaca panas, yang mana mereka tidak akan berjemur di bawah panas terik matahari.

Apatah lagi, katanya, kebanyakan stadium di negara ini tidak berbumbung.

"Stadium JDT mungkin berbumbung tapi stadium lain tidak berbumbung. Jadi, ini memberi ketidakselesaan kepada penonton.

"Banyak kajian perlu dilihat tentang kesesuaian itu. Memang suasana Eropah meriah disebabkan cuaca dan penonton pasukan bola sepak tersebut.

"Tapi, pada pendapat saya, kita belum ada keperluan untuk mengadakan perlawanan pada waktu siang," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram