MESKIPUN jendela perpindahan kedua Liga Malaysia musim ini sudah melabuhkan tirainya, khabar angin mengenai perpindahan pemain masih lagi disebut-sebut oleh penyokong.
Terbaharu difahamkan, anak jati Sabah, Rozaimi Abdul Rahman bakal menyertai skuad The Rhinos pada musim ini dan desas-desus itu diuar-uarkan laman Facebook Malayantigerfans pada Jumaat.
Tidak mustahil, ia bukan sekadar khabar angin ekoran pasukan Johor Darul Takzim (JDT) sebelum ini juga sedikit lewat sewaktu mengumumkan kedatangan pemain baharu mereka iaitu Jordi Amat dan Daniel Ting selepas jendela perpindahan kedua ditutup.
Difahamkan, ia susulan ketiga-tiga pemain itu merupakan ejen bebas termasuk Rozaimi yang tidak terikat dengan mana-mana pasukan.
Kalau nak tahu, nama Rozaimi bukanlah asing dalam skuad Sabah FC kerana kini dia merupakan Penolong Ketua Panel Pemilih dan Pencari Bakat Sabah FC merangkap Ketua Media Bawah 21 Tahun pasukan itu.
Jika rumour itu menjadi kenyataan, pasti ramai penyokong menanti sentuhan pemain berusia 29 tahun itu untuk beraksi di atas padang.
Berikut merupakan enam situasi pro dan kontra sekiranya Rozaimi sah bersama Sabah FC:
Rozaimi pernah memenangi anugerah Kasut Emas ketika perlawanan Malaysia menentang Myanmar pada Pestabola Merdeka 2013.
Pro: 1) Mesin pencetak gol
Bukan bercakap kosong, namun memang terbukti pemain berasal dari Bongawan, Sabah itu berupaya untuk menjadi mesin pencetak gol buat skuad Sang Badak.
Nama Rozaimi mula menjadi sebutan selepas Rozaimi pernah muncul penjaring terbanyak Kelayakan Piala Asia B-22 2013 di Yangon, Myanmar dengan meledak 10 gol buat skuad B-22 negara.
Malah, dia juga pernah memenangi anugerah Kasut Emas selaku penjaring terbanyak dengan tiga gol ketika perlawanan Malaysia menentang Myanmar pada Pestabola Merdeka 2013.
2) Membawa semula potensinya di bawah kendalian OKS
Jika Rozaimi sah menyarung jersi Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee ataupun lebih mesra dipanggil OKS merupakan individu yang paling tepat untuk membantu menyerlahkan semula potensi bintang kesayangan peminat itu.
Ayah kepada tiga orang anak itu sebelum ini pernah menerima panggilan OKS sewaktu perlawanan persahabatan menentang Chelsea pada 2017 dan setelah itu dia mendapat kepercayaan jurulatih tersebut dengan menyenaraikannya ke dalam skuad untuk Kelayakan Piala Asia B-22 AFC 2013.
Tidak dapat dinafikan hasil acuan bersama OKS, Rozaimi berjaya menambat hati pasukan lain seperti JDT untuk merekrutnya selepas dia terlibat kemalangan pada 2015.
3) Keserasian bersama Sabah FC
Sebagaimana semua maklum, pemain itu itu beraksi bersama Sabah selama lima tahun sebelum berhijrah ke pasukan Harimau Selatan pada 2016.
Bersama skuad The Rhinos yang ketika itu dikenali sebagai Sabah FA, Rozaimi menjaringkan 22 gol dalam 48 penampilan,.
Jaringan itu membuatkan banyak kelab gergasi Liga Malaysia berminat untuk mendapatkan khidmatnya seperti Selangor FA.
Sepanjang 5 tahun beraksi bersama JDT II, Rozaimi menjaringkan 6 gol dalam 21 penampilan.
Kontra: 4) Kecederaan yang panjang
Detik hitam buat pemain yang pernah mendapat jolokan ‘Neymar Malaysia’ itu adalah sewaktu dia terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 2015.
Selepas kecederaan yang dialami pemain itu terpaksa bergelut untuk mengembalikan prestasi asal.
Perkara itu mungkin akan membuatkan pengurusan Sabah FC untuk berfikir dua kali sebelum menerimanya kembali bersama skuad The Rhinos.
5) Memanaskan bangku simpanan
Salah satu kekurangan Rozaimi menyertai Sabah FC adalah berkemungkinan dia akan menghabiskan masa memanaskan bangku simpanan.
Mana tidaknya, jentera serangan skuad The Rhinos dilihat semakin kukuh dengan pemain sedia ada seperti pemain lincah Indonesia, Saddil Ramdani dan bintang Jepun, Taiki Kagayama.
Terbaharu, Rozaimi juga perlu bersaing dengan penyerang import Guinea Bissau, Jose Embalo sekiranya dia sah menyertai Sabah FC.
6) Berdepan tekanan peminat
Penyokong Sabah FC pasti meletakkan harapan tinggi buat pemain itu sekiranya dia menyertai Sabah FC.
Perkara itu mungkin boleh memberi sedikit tekanan kepadanya kerana perlu memberikan aksi cemerlang pada setiap perlawanan kerana harapan menggunung penyokong yang mungkin masih terkenang-kenang kehebatan Rozaimi di masa silam.
Tidak mustahil, satu kesilapan pemain itu boleh bertukar kecaman, sekali gus berkemungkinan penyokong akan mendesak supaya dia tidak diturunkan daripada perlawanan penting. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram