MESKIPUN tirai jendela perpindahan kedua pemain dalam saingan Liga Malaysia musim ini sudah berlabuh, khabar angin tentang perpindahan pemain masih lagi disebut-sebut.
Terbaharu dikhabarkan, pemain kelahiran Sepanyol, Jordi Amat sudah dilamar penyandang Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) dan dijangka diumumkan tidak lama lagi.
Ini dikuatkan lagi dengan berita pertahanan JDT, Mauricio dos Santos Nascimento meninggalkan kelab itu, sekali gus membuka ruang buat Jordi mengisi kekosngan tersebut.
Malah pengumuman JDT tentang kemasukan bekas bintang Kuala Lumpur (KL) City, Daniel Ting ke kelab itu, mengukuhkan lagi spekulasi bahawa Harimau Selatan mahu membentuk pasangan pertahanan mantap.
Walaupun ada segelintir peminat merasakan kehadiran Jordi sebagai tidak perlu dan tidak berbaloi, namun statistik dan rekod menunjukkan sebaliknya.
Ketika ini, JDT masih ada Aidil Zafuan, Shane Lowry dan Shahrul Saad, yang sudah terbukti mempunyai kualiti, tetapi kehadiran Jordi sekurang-kurangnya mampu memberi lebih pilihan pemain dan taktikal buat Benjamin Mora.
Berikut merupakan serba sedikit sejarah Jordi beraksi di kelab terkemuka dan rekod kutipan kad kuning sebagai pemain pertahanan tengah.
1) Swansea City
Jordi (kiri) ketika mewakili Swansea City. — Agensi
Ketika menyertai Swansea City pada 2014 hingga 2017, Jordi hany dilayangkan sembilan kad kuning sepanjang tempoh tiga musim, menunjukkan dia bukan seorang pertahanan yang 'robust' dan membuat terjahan tepat tanpa dikenakan tindakan pengadil.
Semasa membuat penampilan pada Liga Perdana Inggeris, dia dilayangkan lima kad kuning pada musim 2016/2017 dan dua pada 2014/2015.
Selain itu, pada Piala EFL, dia juga dilayangkan satu kad kuning pada musim 2015/2016.
Ketika bermain dengan Swansea City, Jordi dan pasukannya berjaya memalukan kelab gergasi, Manchester United di khalayak ramai.
Hal ini kerana Red Devils terpaksa tunduk 1-2 di tangan Swansea City. Ketika itu, perlawanan berlangsung di Old Traffod pada 16 Ogos 2014.
2) Berkelana ke tiga kelab Eropah
Pada 2017, Jordi dipinjamkan oleh Swansea kepada Real Betis sebelum kembali setahun kemudian, sehingga akhirnya dipindahkan ke Rayo Vallecano pada Ogos 2018.
Ketika menyertai Real Betis, Jordi dilayangkan tujuh kad kuning dan dua kad merah menerusi 25 perlawanan La Liga pada musim 2017/2018.
Jordi merekodkan hanya setahun dalam seragam Rayo Vallecano sebelum dipinjamkan ke KAS Eupen selama dua musim.
Ketika menyertai Rayo Vallecano pada 2018 hingga 2019, Jordi sekali lagi dilayangkan 10 kad kuning menerusi 31 perlawanan La Liga.
Semasa menyertai KAS Eupen pada tahun 2019 hingga 2020, beliau berjaya menyumbang dua gol, lapan kuning dan dua kad merah dalam 24 perlawanan.
Menerusi kelab sama, beliau memperoleh enam kad kuning dalam 29 perlawanan pada musim 2020/2021.
Pada musim 2021/2022, Jordi berjaya menyumbang dua bantuan gol, manakala selebihnya enam kad kuning dan dua kad merah menerusi 27 perlawanan.
3) Pengalaman Piala Dunia
Dipetik dari Transfermarket, Jordi telah bermain untuk pasukan kebangsaan bawah 19 tahun Sepanyol sebanyak tujuh kali, lima kali ketika bermain untuk umur bawah 20 tahun, manakala 15 kali ketika bermain untuk bawah 21 tahun.
Pada tahun 2009, Jordi bermain di Piala Dunia B-17.
Di bawah kendalian Ginez Melendez, Sepanyol yang dianggotai pemain seperti Jordi, Marc Muniesa, Pablo Sarabia, Iker Muniain, dan Alvaro Morata mara ke separuh akhir dan tewas 1-3 kepada Nigeria.
Sepanyol mara dengan tempat ketiga apabila menewaskan Columbia 1-0.
Jordi menegaskan bahawa beliau mahu menyelesaikan proses dokumentasi untuk menjadi warganegara Indonesia. —Agensi
Terdahulu, Jordi menafikan beliau akan menyertai JDT, yang mana pemain berusia 30 tahun itu menegaskan mahu menyelesaikan segala proses dokumentasi yang diperlukan oleh kerajaan tempatan bagi menjadi warganegara Indonesia.
"Tidak, memang banyak khabar angin apatah lagi kontrak saya akan tamat pada 30 Jun ini.
"Apabila semua selesai, barulah saya melihat pilihan yang ada dan akan mempertimbangkan tawaran yang sesuai," katanya.
Pada masa sama, beliau tidak dapat beraksi bersama skuad kebangsaan Indonesia pada saingan kelayakan Piala Asia 2023 kerana proses dokumentasi sebagai warganegara Indonesia memerlukan masa untuk mendapat kelulusan daripada kerajaan negara itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram