Sah sarung jersi JDT, ini 6 situasi bakal dihadapi Jordi


  • Podium
  • Jumaat, 01 Jul 2022

Jordi boleh menimba pengalaman bermain di Asia memandangkan pemain itu tidak pernah bermain di luar Eropah. — Facebook Johor Southern Tigers

PENYERTAAN Jordi Amat ke Johor Darul Takzim (JDT) mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan penyokong bola sepak Indonesia dan Malaysia.

Polemik perpindahan Jordi timbul selepas ada pihak menuduh pemain berdarah Sepanyol-Makassar itu ingin mendapatkan kewarganegaraan Indonesia untuk kepentingan peribadi, sementara mahu bermain di JDT bagi didaftarkan sebagai pemain import Asia/Asean.

Proses naturalisasi pemain berketinggian 1.84 meter itu sedang dibincangkan antara Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Indonesia (PSSI), Indra Sjari dan jurulatih skuad kebangsaan Indonesia, Shin Tae-yong.

Tae-yong masih belum membuka mulut mengenai perpindahan Jordi ke JDT. Jika bekas jurulatih Korea Selatan itu konsisten dengan kata-katanya sebelum ini, proses naturalisasi pemain berusia 30 tahun itu boleh dibatalkan sekali gus menyaksikan peluangnya untuk bermain dengan skuad Garuda tidak kesampaian.

Berikut merupakan tiga situasi kekurangan dan tiga situasi kelemahan Jordi bersama JDT.

017679500_1635774207-000_Par6913126

Bekas pemain Real Madrid yang kini bersama Manchester United, Cristiano Ronaldo antara pemain berbahaya dalam La Liga yang dikawal ketat oleh Jordi. — Agensi

Kekurangan

1) Permainan yang boleh diramal

Bersaing dalam liga Asia Tenggara, gaya permainan Jordi di bahagian pertahanan akan lebih mudah untuk diperhatikan oleh lawan. Dari satu sudut, corak permainan Jordi akan lebih senang untuk dipantau dan dijangka. Ini boleh memberi impak buruk sekiranya Jordi beraksi dalam pasukan kebangsaan Indonesia dan menentang pasukan dari Asia Tenggara khususnya Malaysia.

2) Prestasi mungkin menurun

Salah satu sebab Tae-yong dan PSSI mahu pemain naturalisasi itu bermain di Eropah adalah kerana kualiti pertandingan dan tahap permainan. Jika terus di Eropah, Jordi diharap masih mampu berada di peringkat teratas dari segi permainan dan memberi impak ketara sekiranya beraksi dalam skuad Garuda. Dengan bermain di Liga Malaysia atau terutamanya Asia Tenggara, kualiti yang diperoleh tidak akan setanding di Eropah.

3) Jadi sasaran haters

Berita perpindahan ke JDT sudah mencetuskan perdebatan dan reaksi negatif daripada pelbagai pihak khususnya dalam kalangan penyokong Indonesia yang kesal dengan keputusan pemain itu.

Jordi mungkin terus menjadi bahan kritikan dan sasaran haters jika pemain itu gagal mempamerkan aksi mengagumkan sekiranya masih beraksi bersama pasukan Indonesia.

jordi-amat-saat-membela-klubnya-kas-eupen-foto-twitterjordia-1qom

Sejak memulakan kerjaya profesional pada 2009, Jordi beraksi dalam 291 perlawanan di Eropah. — Agensi

Kelebihan

1) Menyesuaikan diri dengan bola sepak Asia

Sepanjang kariernya, Jordi tidak pernah bermain di luar Eropah. Dia yang sebelum ini berkhidmat di KAS Eupen berpengalaman bermain di kelab-kelab Benua Biru antaranya Espanyol dan Rayo Vallecano. Sejak memulakan kerjaya profesional pada 2009, Jordi beraksi dalam 291 perlawanan di Eropah.

2) Lebih mudah dipanggil ke Indonesia

Jika proses naturalisasi tidak berdepan masalah, Jordi lebih mudah dipanggil ke pasukan kebangsaan Indonesia pada masa akan datang. Selain saingan yang tidak jauh berbeza, jarak perjalanan yang perlu ditempuhi Jordi untuk pulang ke tanah air tidak terlalu jauh. Seperti yang diketahui, ketika ini salah seorang pemain pasukan kebangsaan Indonesia iaitu Saddil Ramdani turut beraksi di Malaysia dengan skuad Sabah FC.

3) Beraksi dengan kelab besar

Walaupun secara tidak langsung merendahkan kelasnya dengan beraksi dalam pertandingan Asia Tenggara, JDT dianggap sebagai antara kelab besar di Asia Tenggara. Ketika ini, JDT mendahului Liga Malaysia 2022. Bukan itu sahaja, JDT juga tampil gagah dalam Liga Juara-Juara Asia.

Selepas mengungguli Kumpulan I mengatasi kelab Jepun dan Korea Selatan seperti Kawasaki Frontale dan Ulsan Hyundai, JDT memastikan diri mereka layak ke pusingan 16 Liga Juara-Juara Asia. Dengan saingan elit seperti Liga Juara-Juara Asia yang disertai JDT, mutu permainan tidak akan jauh berbeza dengan pengalaman Jordi di Eropah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram