Lepas Selangor, giliran penyokong Tok Gajah 'mengamuk' maki pemain


  • Podium
  • Ahad, 26 Jun 2022

Tangkap layar video yang memaparkan situasi tegang antara pemain dan penyokong Sri Pahang FC. — Facebook

KEKALAHAN pasukan Sri Pahang FC, 0-3 dalam perlawanan menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) bertukar tegang selepas penyokong skuad Tok Gajah menyatakan rasa tidak puas hati terhadap aksi pemain.

Menerusi satu video tular berdurasi kurang seminit, pemain Sri Pahang FC dilihat berbalah dengan penyokong di tepi padang Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan.

Kedengaran beberapa penyokong mempertikai aksi lemah yang dipamerkan skuad kendalian Christophe Gamel.

Selain Gamel yang dilihat cuba menjelaskan situasi terkini skuadnya kepada penyokong, pemain Sri Pahang FC, Muslim Ahmad juga dilihat berada dalam situasi tegang ketika bertekak dengan penyokong.

Pemain harapan skuad Tok Gajah, Nor Azam Azih pula cuba untuk menenangkan keadaan antara penyokong dan pemain.

Untuk rekod, pertemuan dengan NSFC itu adalah kekalahan ketiga yang dicatatkan Sri Pahang FC dan satu keputusan seri yang dicatatkan ketika bertemu Johor Darul Takzim (JDT) dalam empat perlawanan sebelum ini.

Tiga pemain skuad kendalian K. Devan yang menjaringkan gol ialah Gustavo Almeida ('33), Yaser Armando Pinto Islame ('47) dan Matheus Alves Leandro ('52).

Pahang FC kini menduduki kedua tercorot liga dengan hanya mengumpul lapan mata hasil daripada 10 perlawanan manakala NSFC mengukuhkan kedudukan di tangga kedua liga, terikat 19 mata dengan pendahulu Johor Darul Takzim yang mempunyai kelebihan perbezaan gol.

Ini merupakan insiden kedua melibatkan penyokong memaki skuad kesayangan mereka selepas kejadian pertama berlaku pada April lalu apabila peminat Selangor FC memaki pemain sendiri susulan aksi hambar pasukan Gergasi Merah itu pada musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram