Mora gembira pemain JDT dengar cakap, Feichtenbeiner kata pemain Selangor lain pula jadinya


  • Podium
  • Sabtu, 25 Jun 2022

Harimau Selatan bagaikan berada dalam kelas tersendiri apabila mudah membenam cabaran Selangor dalam aksi Liga Super pada Jumaat. — Facebook/Johor Southern Tigers

KETUA jurulatih Johor Darul Takzim FC (JDT), Benjamin Mora memuji barisan pemainnya yang berjaya membelasah Selangor FC 5-1 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Jumaat meskipun setelah hampir sebulan berehat daripada beraksi di saingan tersebut.

Menurut Mora, antara sebab skuadnya berjaya meraih kemenangan besar ke atas pasukan Gergasi Merah itu adalah kerana mereka mengikuti segala perancangan yang ditetapkan termasuklah cuba meraih gol awal pada perlawanan itu.

“Kita berjaya meraih kemenangan ini kerana semua pemain mengikut pelan yang ditetapkan sebelum ini. Kita tahu kemahuan Selangor untuk meraih gol awal namun kita cuba mengambil peluang tersebut.

“Saya selalu menyatakan kepada pemain jika anda tidak mengharapkan kemenangan, anda tidak akan menang.

"Anda tidak mengharapkan membuat jaringan, anda tidak akan membuat jaringan,” jelasnya pada sidang media selepas perlawanan.

Pada perlawanan tersebut, Harimau Selatan bermula garang apabila terlebih dulu membuka tirai jaringan menerusi pemain import, Bergson Da Silva seawal minit ketiga diikuti Fernando Forestieri pada minit ke-24, sebelum lencongan Leandro Velazquez menewaskan penjaga gol, Khairulazhan Khalid memastikan tuan rumah menuju ke bilik persalinan dengan kedudukan selesa 3-0 pada babak pertama.

The Red Giants yang cuba kembali bangkit pada babak kedua ternyata gagal menyaingi apabila sekali lagi dihukum menerusi jaringan Bergson.

Bagaimanapun, anak buah Michael Feichtenbeiner berjaya mendapatkan gol saguhati pada minit akhir perlawanan menerusi Mohd Nor Hakim Hassan berjaya menewaskan penjaga gol, Farizal Marlias pada minit ke-82.

Dalam pada itu, Feichtenbeiner mengakui pasukannya kurang bernasib baik sambil memberitahu dua gol awal Harimau Selatan memberi kesan kepada moral pemain Selangor.

Malah beliau turut mengakui berasa kecewa kerana para pemainnya gagal mempamerkan aksi diarahkannya serta menegaskan kelonggaran tersebut dihukum pasukan lawan dengan kemenangan besar 5-1.

“Kita sangat mahukan untuk kemenangan meskipun menjangkakan perlawanan ini agak sukar.

"Moral pemain juga jatuh selepas ketinggalan 0-2 dan malam ini bukanlah persembahan terbaik kami.

“Saya sangat kecewa, sepatutnya Selangor memberi tekanan tetapi lain pula yang jadi pada malam ini (Jumaat),” katanya. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

JDT, Selangor, MFL, Benjamin Mora, Menang