Bosan balik-balik JDT juara, antara emosi dan solusi


  • Podium
  • Ahad, 26 Jun 2022

JDT berjaya membentuk sebuah pasukan bola sepak yang cukup mantap bukan sahaja di Malaysia malah kini berjaya menjadi rival yang digeruni di rantau ini. — Facebook/Johor Southern Tigers

TIDAK dapat dinafikan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, peminat mula berasakan betapa saingan Liga Malaysia (Liga M) terutamanya Liga Super dilihat semakin membosankan dan tidak lagi rancak.

Jika dahulu setiap kali sahaja musim Liga M bakal membuka tirainya, ramai peminat teruja dan tidak sabar untuk melihat pasukan manakah yang bakal menjuarai Liga Super edisi pada tahun tersebut, namun kini peminat tidak lagi mengendahkan siapa yang bakal juara sebaliknya mahu melihat pasukan merebut kedudukan kedua dan ketiga.

Semuanya gara-gara reputasi pasukan Johor Darul Takzim (JDT) menguasai Liga Super sebanyak lapan kali berturut-turut menyebabkan tiada lagi situasi cemas di penghujung musim untuk melihat persaingan pasukan untuk mengangkat trofi Liga Super.

Tidak dapat dinafikan dengan kemudahan dan dana yang mencukupi, skuad JDT sudah mengorak beberapa langkah jauh ke hadapan berbanding pasukan lain di negara ini.

Mereka juga berjaya membentuk sebuah pasukan bola sepak yang cukup mantap bukan sahaja di Malaysia malah kini berjaya menjadi rival yang digeruni di rantau ini.

Antara emosi dan solusi, senario itu dijangka tidak berubah selagi mana kelab-kelab pencabar masih kekal berada dalam zon selesa serta tidak mahu menjadikan kejayaan JDT sebagai indeks prestasi utama (KPI).

Atas kertas, jenama yang dibina JDT bukannya berlaku dalam sekelip mata. Jika JDT mampu melakukannya, mengapa tidak kelab lain? Letak ke tepi dulu soal kekuatan kewangan mahupun pengurusan kerana sedikit masa lalu, JDT juga bukan siapa-siapa dan mampu untuk ditewaskan mana-mana pasukan.

Jika solusi dipinggirkan dan hanya berfaktakan emosi, jangan terkejut sekiranya senario ini akan terus berlarutan tanpa ada sebarang perubahan, jadi jangan salahkan JDT jika asyik menang dan terus menang sampai bila-bila.

Seorang penyokong bola sepak, Muhammad Abdullah meluahkan perasaannya di Facebook, sambil menyifatkan pasukan lain di dalam Liga M sudah tidak dapat menandingi JDT dan liga juga sudah semakin tidak kompetitif seperti mana Liga Thailand.

JDT 22

Dengan kemudahan dan dana yang mencukupi pasukan JDT sudah mengorak beberapa langkah jauh ke hadapan berbanding pasukan lain. Facebook

"Liga Malaysia ini dah tak ada kelab yang boleh bersaing dengan JDT, tak macam Liga Thai yang ada pesaing-pesaingnya. Liga kita awal-awal lagi dah tahu siapa yang lebih sedia jadi juara," luahnya.

Kenyataan penyokong tersebut mendapat sokongan orang ramai yang mana rata-rata mereka juga menyatakan disebabkan pasukan lain tidak mahu berubah lantas memberi kesannya pada kualiti Liga M.

"Sekiranya pasukan lain tidak mengambil ini sebagai sesuatu yang positif mereka akan semakin jauh ketinggalan. Apa yang lebih teruk peminat bola sepak akan berasa bosan dan tidak mahu lagi menonton perlawanan bolasepak tempatan," kata Syafiq Abdillah.

"Kelab-kelab lain kena ada seorang pemilik yang hebat dan setanding TMJ (Tunku Ismail Sultan Ibrahim), sekurang-kurangnya kaya untuk menjadikan kelab itu ditunjangi pemain-pemain hebat dan berkualiti tinggi, baru boleh bersaing dengan JDT," ujar Hijau Bumi.

"Dulu pun Liga Thailand macam kita, selalu Buriram United sahaja juara liga, lama-lama kelab lain mula insaf dan mula bersungguh bersaing memantapkan pasukan dari semua aspek," jelas Muhammad Aizat.

"Macam mana nak bersaing, asal tak perform sahaja tukar coach, tukar import. Pengurusan sampai dah tua, tetap tak bertukar-tukar," tulis Khuzai Ramly.

Akhirnya berbalik kepada persoalan yang sama akan timbul setiap tahun iaitu adakah kita akan menyaksikan saingan Liga Super 2022 sama seperti musim-musim sebelumnya atau akan berakhir lebih menarik? Sama-sama kita tunggu dan lihat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram