SKUAD Kelantan FC nampaknya kembali menguatkan pasukan mereka menerusi kemasukan dua pemain baharu, Kenta Hara dan Felipe Hereda.
Menariknya, The Red Warriors (TRW) tidak menggunakan falsafah 'kitar semula' yang membelenggu kebanyakan kelab tempatan membeli atau meminjam pemain yang sedia ada dalam kancah Liga Malaysia (Liga M).
Kenta Hara bakal 'hidupkan' Nixon Guylherme
Baru berusia 26 tahun, Hara, pemain yang berasal dari Jepun dilihat akan memperkuatkan bahagian serangan skuad TRW khususnya di sebelah kiri.
Tidak pernah beraksi dalam Liga M, Hara bagaimanapun mempunyai pengalaman beraksi di beberapa kelab seperti FK Alfa Modrica di Bosnia-Herzegovina; Port Kembla FC (Australia) dan SC Kapellen-Erft di Jerman.
Menjalani latihan sejak seminggu yang lalu, Hara dikatakan cukup lincah dan mempunyai kelajuan di bahagian sisi padang.
Penyerang TRW Kelantan, Nixon Guylherme boleh bergantung harap kepada Kenta Hara selepas ini. — Facebook/TRW Kelantan FC
Kehadiran Hara juga dilihat mampu menghuru-harakan bahagian tengah lawan sekali gus memberi sokongan kepada jentera serangan di bahagian tengah, Nixon Guylherme untuk menjaringkan gol.
Statistik menunjukkan tiada pemain Kelantan FC yang menunjukkan dominasi sebagai pemain paling banyak assist dalam sepanjang perlawanan musim ini.
Guylherme sendiri berada di cartas teratas sebagai pemain yang menyumbang kepada peluang gol dan kemasukan Hara dijangka mampu membuka ruang buatnya menjalankan tugas sebagai penyerang tengah.
Hereda kukuh benteng pertahanan
Selain Hara, Hereda yang sudah seminggu menjalani latihan bersama skuad TRW turut dipilih untuk beraksi bersama pasukan tersebut.
Berasal dari Brazil, Hereda yang berusia 28 tahun akan berada di posisi pertahanan.
Melihat kepada fizikal tegap dimiliki Hereda menjadi keutamaan mengapa pemain itu perlu berada di bahagian pertahanan TRW.
Kesebelasan utama skuad TRW. — Facebook/TRW Kelantan FC
Apatah lagi skuad TRW kini tidak mempunyai sebarang pemain import di bahagian pertahanan dan hanya bergantung harap kepada pemain tempatan seperti Khairul Helmi Johari, Yusri Yusmadi dan Ghaffar Rahman untuk mengawal benteng pertahanan.
Selain itu, Hereda juga pernah beraksi bersama tiga kelab di Brazil iaitu Santo Andre FC, Foz Do Iguacu FC dan Club Sportivo Sergipe (SE) sebelum berhijrah ke Bahrain untuk bersama kelab East Riffa dan Budaiya Club.
Pengalaman yang dimiliki Hereda dilihat dapat memperkuatkan lagi bahagian pertahanan yang sebelum ini diakui agak rapuh oleh Ketua Jurulatih, Rezal Zambry Yahya.
Kelantan FC hanya bolos lima gol dalam sembilan perlawanan dan menjadi pasukan paling sikit bolos gol.
Kemasukan Hereda bukan saja mampu memperkukuhkan benteng pertahanan, tetapi memberi pilihan kepada Rezal untuk melakukan penggiliran pemain.
Kelantan FC kini selesa menduduki tangga teratas Liga Perdana dengan mengumpul 22 mata, satu mata dipisahkan daripada Johor Daru Takzim II, sekali gus mencerahkan peluang layak ke Liga Super pada musim depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram