Pelajar ditekap seterika akibat cemburu buta di Teluk Intan


  • 112
  • Sabtu, 25 Jun 2022

Mangsa dicederakan oleh 10 pelajar senior berusia antara 16 hingga 17 tahun.

SEORANG pelajar lelaki Tingkatan 2 cedera akibat dipukul sekumpulan pelajar senior yang turut menggunakan seterika panas dalam kejadian buli di sebuah sekolah di Teluk Intan, Perak pada Khamis.

Kejadian sekitar pukul 12.30 malam itu dipercayai berpunca daripada perasaan cemburu selepas mangsa berbual dengan seorang pelajar perempuan.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, siasatan awal mendapati, mangsa dicederakan oleh 10 pelajar senior berusia antara 16 hingga 17 tahun semasa berada di asrama sekolah.

Menurutnya, seorang daripada suspek membawa mangsa ke bilik asrama dan kemudiannya memukul mangsa secara beramai-ramai termasuk mencederakannya menggunakan seterika panas pada badan.

"Mangsa kemudiannya menghubungi ibunya sebelum dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk menerima rawatan.

"Mangsa yang mengadu sakit di pinggang masih menerima rawatan di hospital berkenaan dan kini berada dalam keadaan stabil," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, soal siasat dijalankan mendapati, pergaduhan berpunca perasaan cemburu kerana mangsa berbual dengan seorang pelajar yang juga merupakan rakan perempuan kepada seorang suspek yang membulinya.

Katanya, semua suspek terlibat ditahan pada hari sama dan direman selama empat hari sehingga Isnin ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Buli, Polis, Seterika Panas, Rawatan