'Ini adalah turning point untuk Perak FC,' Yusri Che Lah puji aksi 3 pemain


  • Podium
  • Ahad, 26 Jun 2022

Antara aksi pemain import baharu Perak FC dalam perlawanan menentang Kelantan United pada Sabtu. — Kelantan United Football Club

PENGENDALI Perak FC, Yusri Che Lah menyifatkan kemenangan mengejut ke atas Kelantan United dalam aksi Liga Premier pada Sabtu sebagai permulaan baik untuk pasukannya.

Malah kemenangan tersebut, kata Yusri, akan menjadi pencetus semangat untuk anak buahnya meneruskan momentum serta rentak kemenangan pada perlawanan akan datang.

"Kami bersyukur kerana kemenangan malam ini (Sabtu) membolehkan hutang tiga mata akibat pemotongan oleh badan bebas, First Instance Body (FIB) dipadam dan selesai.

"Ini adalah turning point untuk Perak FC...kami akan bermula daripada kosong mata. Jadi selepas ini kami perlu berusaha lebih keras untuk menang dan mengumpul mata berharga supaya sekurang-kurangnya kekal dalam Liga Premier musim depan," katanya.

289324427_2393979400742648_8855422685971346907_n

Aksi pemain Perak FC ketika bertemu Kelantan United pada Sabtu. — Facebook/Kelantan United FC

Pada perlawanan tersebut, Perak FC berjaya melakar kemenangan tipis 1-0 ke atas Kelantan United FC hasil jaringan pemain import kelahiran Argentina, Luciano Guaycoachea.

Tambah Yusri, beliau juga berpuas hati dengan aksi cemerlang tiga import baharunya iaitu Guaycochea, Sunday Kolawale dan Stipe Plazibat.

"Pada awalnya saya agak risau untuk menurunkan pemain import pada malam perlawanan kerana mereka baru sahaja dua hari di Malaysia dan masih kepenatan selepas melalui perjalanan panjang hampir 40 jam," katanya.

289947231_2393979177409337_8266310584528986801_n

Kesebelasan utama skuad Perak FC. — Facebook/Kelantan United FC

Sementara itu, ketua jurulatih Kelantan United, Syamsul Mohd Saad berkata, ketiadaan dua tonggak import, Amidu Salifu dan Njoku Jacob menjadi punca kekalahan skuad Kijang Hijau di tangan skuad The Bos Gaurus.

"Tetapi kita juga sebenarnya beroleh beberapa peluang keemasan untuk menjaringkan gol, malangnya tidak disempurnakan dengan baik.

"Satu perkara yang kita sedar kekurangan pasukan ialah pemain tengah yang boleh hold bola dan create game," katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram