MENONTON perlawanan bola sepak di stadium menawarkan lebih kepuasan kerana berpeluang melihat acara langsung di depan mata.
Laungan sorak dan sokongan dapat diberikan lebih padu kepada pemain sekali gus membakar semangat pasukan untuk lebih mempamerkan aksi bertenaga.
Namun, kadangkala perilaku penonton yang terlalu obses mampu mengundang padah sehingga mengakibatkan berlaku perkara tidak diingini.
Begitulah luahan seorang pengguna Facebook yang dikenali sebagai Ilham Budi yang seakan meninggalkan tanda tanya mengenai tahap keselamatan penyokong yang akan menonton perlawanan Johor Darul Takzim (JDT) dengan Selangor FC di Stadium Larkin, Johor malam ini (Jumaat).
Bukan sahaja keselamatan fizikal, kebimbangan terhadap kereta kerana dikatakan ada segelintirnya sanggup bertindak merosakkan kenderaan penyokong pasukan lawan kerana tidak berpuas hati dengan keputusan perlawanan sekiranya kalah.
Luahan pandangan mengenai keselamatan kenderaan dengan nombor pendaftaran luar daripada negeri Johor. — Facebook
Sebahagian komen pengguna Facebook. — Facebook
"Pernah bertanya dengan kawan-kawan yang memandu kenderaan dengan nombor pendaftaran W atau B (Kuala Lumpur atau Selangor) sebelum ini di Larkin, cermin sisi kereta pecah lebih-lebih lagi jika ada pelekat Selangor Red Giants.
"Apabila ada orang tanya, ada sebarang pelekat Selangor Red Giants pada bahagian cermin kereta atau tidak, ada yang menasihatkan agar lebih baik menaiki motosikal atau menggunakan kenderaan dengan nombor pendaftaran M (Melaka)," katanya.
Ilham Budi turut menasihatkan agar bersedia sekiranya penyokong Johor 'bengang' pasukan mereka kalah. Sebarang kemungkinan boleh berlaku sekiranya masing-masing tidak mahu mengalah.
"Kita tunjukkan kesopanan anak jati Selangor Darul Ehsan. Insya-Allah segala akan selamat. Rakyat bangsa J bising di media sosial saja," tambahnya.
Perkara tersebut bagaimanapun dinafikan oleh beberapa individu lain yang mengifatkan penyokong JDT 'bertamadun' dan tidak mengamalkan sikap provokasi.
"Mengarut sahaja, saya menggunakan nombor pendaftaran W tiada masalah. Jangan fitnah kerana orang Johor tiada masalah," kata Suzana Ali.
"Tidak perlu di stadium, kenderaan nombor pendaftaran selain J (Johor) tiada masalah dan orang Johor tidak akan pecah kereta orang lain walaupun nombor pendaftaran W," kata Nasarudin Tahir.
"Jangan cakap sebarangan, biar ada bukti dengan apa yang dicakap. Manusia toksik," kata NurulHannani Salim.
Pastinya perlawanan malam ini menjadi antara yang paling dinantikan penonton dan diharapkan acara berlangsung dalam keadaan tenang dan selamat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram