Kedah mampu eksploitasi kelemahan 'terbesar' Bali United — Ramon


  • Podium
  • Jumaat, 24 Jun 2022

Kedah akan mengharungi saingan Piala AFC bermula 24 Jun sehingga 30 Jun. — Facebook KDA FC

PERTEMBUNGAN Kedah Darul Aman (KDA) FC menentang Bali United dalam saingan Piala AFC menjadi platform terbaik buat Sang Kenari memulihkan reputasinya.

Ini susulan aksi turun naik skuad kendalian Aidil Sharin Sahak dalam saingan Liga Super 2022 yang menyaksikan Kedah sekadar menduduki tangga keempat liga selepas sembilan perlawanan.

Sukar buat Kedah untuk mencabar kejuaraan Liga Super yang kali terakhir dimenangi pada 2008 susulan dominasi Johor Darul Takzim (JDT) sejak 2015.

Kini beraksi di pentas Asia, Kedah bagaikan memiliki 'nyawa' kedua untuk bangkit memperbaiki statusnya sebagai salah satu pasukan terbaik negara, sekali gus memikat semula hati penyokong yang rindukan skuad kesayangan mereka menjulang trofi.

Bagi bekas Ketua Jurulatih Kedah, Ramon Marcote, Sang Kenari berpeluang menundukkan jaguh Indonesia itu walaupun ia bukan tugas mudah.

Katanya, Bali United merupakan antara kelab terkuat Indonesia dan prestasi pasukan itu pada musim lepas amat baik dalam kancah liga tempatan selepas merangkul kejuaraan Liga 1 Indonesia.

Aidil Sharin

Tugas berat menanti Aidil Sharin (tengah) untuk memulihkan reputasi Kedah. — Facebook KDA FC

Namun katanya, Kedah perlu mengeksploitasi kekurangan yang dialami Bali United selepas kelab itu tidak terlibat dalam perlawanan kompetitif sejak beberapa bulan lalu.

"Kelebihan buat Kedah adalah Liga Indonesia sudah tamat beberapa bulan lepas.

"Jadi Bali United tidak mempunyai persediaan kompetitif dan hanya bermain tiga perlawanan rasmi dalam Piala Presiden Indonesia. Mereka hanya menjalani latihan pramusim," katanya kepada Majoriti.

Berdasarkan situasi tersebut, Kedah mempunyai kelebihan dari segi kecergasan untuk mengatasi Bali United memandangkan anak buah Aidil terlibat dalam beberapa perlawanan kompetitif termasuk Piala FA dan Liga Super sebelum ke Indonesia.

Kelebihan buat Kedah pula kata Ramon, Sang Kenari masih belum membuktikan 'wajah' sebenar mereka pada musim ini.

Tambahan pula dengan membawa masuk beberapa pemain baharu, Ramon percaya Kedah akan memberi kejutan kerana masih ramai tidak tahu tahap kemampuan mereka beraksi di peringkat tertinggi.

"Kita tidak boleh mengharapkan perubahan besar dalam corak permainan bagi tempoh sebulan.

"Tetapi Kedah masih berpotensi untuk menewaskan Bali United dengan syarat semua pihak termasuk staf teknikal dan pemain menunjukkan wajah sebenar mereka. Saya harap mereka mampu melakukannya," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram