SELEPAS perpindahan pemain sayap, Farhan Roslan ke Sabah FC, kekosongan di skuad Kelantan FC kini bakal diisi oleh pemain baharu.
Menurut Kelantan FC menerusi laman Facebook rasmi pada Rabu, Abdul Latiff Suhaimi akan membuat penampilan bersama negeri kelahirannya itu untuk baki saingan Liga Premier pada pusingan kedua ini.
Pemain pertahanan yang juga bekas kapten Penang FC itu memiliki 10 tahun pengalaman di dalam arena bola sepak tempatan dan pernah menyarung jersi kebangsaan pada 2016.
"Beliau akan melaporkan diri bersama TRW Kelantan FC dalam masa terdekat ini.
"Pemain berusia 33 tahun ini merupakan anak jati Kota Bharu, Kelantan memiliki pengalaman yang luas, mampu mengemudi di bahagian pertahanan bersama rakan sepasukan yang lain untuk mengekalkan rekod kekebalan pada baki saingan liga musim ini," katanya.
Sementara itu, pihak pengurusan Penang FC melahirkan rasa teruja dengan lamaran Kelantan FC untuk mendapatkan pemain itu sebagai ahli keluarga baharu dalam kelab tersebut.
Menghargai perjuangan Abdul Latiff bersama Penang FC, pihak pengurusan berterima kasih kepada pemain itu yang berjaya membawa pasukan tersebut hingga menjuarai Liga Premier musim 2020.
"Dan apabila bertukar status sebagai kelab bola sepak bertaraf syarikat, telah sama-sama dengan pasukan meraih kedudukan paling terbaik yang pernah dicapai oleh Penang FC.
"Pengurusan mendoakan kapten Abdul Latiff Suhaimi terus maju jaya dalam kerjayanya sebagai pemain bola sepak profesional, dan seterusnya dapat membantu Kelantan FC untuk menjuarai kejohanan Liga Premier Malaysia, insya-ALLAH," katanya menerusi hantaran di laman Facebook.
Sebelum ini, Abdul Latiff pernah beraksi dengan beberapa kelab di Liga Super, termasuk Penang FC, Selangor FC, Terengganu FC dan Kedah FC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram