USAHA lebih keras perlu dilakukan oleh Faris Shah Rosli bagi mendapatkan minit permainan lebih lama, berikutan beliau setakat ini diturunkan sebagai pemain gantian.
Pemain pertahanan Melaka United (MU) FC itu sempat beraksi dalam lima perlawanan Liga Super setakat ini, selain tekad ingin memastikan peluangnya akan lebih luas untuk beraksi dengan lebih kerap, sebaik sahaja Liga Malaysia kembali bersambung.
Bekas pemain Kelantan ini bagaimanapun percaya dengan apa jua percaturan jurulatih dan sekiranya dia mampu membantu pasukan sebagai pemain gantian, Faris bersedia untuk memberikan yang terbaik dalam aksi-aksi akan datang.
"Setakat ini, saya tidak kisah walaupun masuk pada minit-minit akhir sebagai pemain gantian.
"Sekarang pun persaingan semakin sihat, jadi siapa yang lebih cemerlang, mesti akan diturunkan dan saya tidak kisah diturunkan pada minit berapa sekalipun asalkan pasukan berjaya.
"Cuma mestilah selepas liga bersambung, saya pun nak buktikan sesuatu juga dekat jurulatih dan terpulang dekat beliau untuk membuag keputusan terbaik," jelasnya kepada MFL.
Memasuki musim keempat pemain berusia 27 tahun ini bersama skuad Kancil, dia mengakui pasukan itu sudah sebati dengan dirinya dan apa yang ingin dilakukan adalah untuk sentiasa menjadi sebahagian daripada kejayaan yang diraih oleh skuad.
Dengan Melaka ketika ini semakin mempamerkan perubahan positif dengan dua kemenangan berturut-turut, Faris percaya, pasukan itu lebih bersedia dengan aksi menyakinkan untuk berdepan Negeri Sembilan FC (NSFC) pada 18 Jun ini.
"Dah memasuki tahun keempat saya dekat sini sejak 2018, memang rasa selesa.
"Kalau tak selesa, tiada la saya kekal dekat Melaka sampai sekarang dan pasukan ini banyak membentuk saya.
"Sekarang pun kita tetap berlatih dan akan ada beberapa perlawanan persahabatan juga untuk bersedia aksi sengit lawan Negeri Sembilan nanti," tambahnya.
Melaka ketika ini berada di tangga kesembilan Liga Super selepas meraih dua kemenangan daripada enam perlawanan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram