Kadang-kadang kena salahkan semua, bukan saja penjaga gol — Sathianathan


  • Podium
  • Isnin, 13 Jun 2022

Kekecewaan jelas terpancar pada wajah Farizal selepas tamat perlawanan Malaysia menentang Bahrain pada Sabtu.

KEKALAHAN 1-2 skuad Harimau Malaya ke atas Bahrain pada Sabtu mendapat pelbagai respons bukan sahaja daripada penyokong bola sepak tanah air, malah jurulatih-jurulatih turut tidak terkecuali.

Antara topik hangat dibincangkan susulan kekalahan itu termasuk mengenai penjaga gol, Farizal Marlias, susulan kesilapan mudahnya yang menghadiahkan sepakan penalti pada perlawanan itu.

Ada yang tidak berpuas hati dengan kesilapan yang dilakukan, meskipun Harimau Malaya bermain baik sepanjang perlawanan.

Jaringan sepakan penalti Bahrain pada penghujung permainan meranapkan impian Malaysia untuk sekurang-kurangnya mendapat satu mata dalam saingan Kumpulan E, Kelayakan Piala Asia 2023.

Tampil mengulas mengenai perkara itu, Shazwan Wong berkata bahawa, peminat sememangnya mudah untuk mengutuk kesalahan Farizal.

Kata jurulatih bola sepak itu, antara kecaman yang diterima oleh penjaga gol itu termasuk beliau tidak sepatutnya keluar daripada kotak penalti, perlu menumbuk bola serta tidak perlu masuk campur dalam situasi tersebut.

"Namun, dalam sesuatu perlawanan, keputusan perlu dibuat dengan cepat. Adakalanya keputusan salah boleh menyebabkan kekalahan," katanya menerusi laman Twitter.

ATM coach B. Sathianathan gestures during short interview at Subang Airport before depart to Kelantan. IZZRAFIQ ALIAS / The Star. October 24, 2013.

B. Sathianathan berkata, tugas menjadi seorang penjaga gol bukan mudah.

Sementara itu, B. Sathianathan berkata, meskipun Farizal membuat kesilapan pada perlawanan itu, tidak wajar sekiranya hukuman hanya dikenakan kepada penjaga gol tersebut.

Ketua Jurulatih Sarawak United itu berkata, hal ini kerana terdapat banyak perkara yang membawa senario itu manakala sebagai satu pasukan, semua pemain perlu bertanggungjawab ke atas kesilapan tersebut.

"Kadang-kadang sebagai satu pasukan, kita kena salahkan semua dan bukan hanya goalkeeper (penjaga gol).

"Goalkeeper ni penting. Kesilapan sikit orang sentiasa ingat. Tugasnya memang susah dan tak berapa elok nak salahkan dia sahaja.

"Kita kena move on. Kesilapan memang boleh diatasi kalau semua buat tugas dengan betul," katanya kepada Majoriti.

Ketika ditanya mengenai harapannya terhadap Harimau Malaya pada perlawanan seterusnya, B. Sathianathan berkata, skuad tersebut perlu mengelakkan kesilapan kecil dan mudah kerana dikhuatiri membawa mudarat.

"Jadi, macam semalam (Sabtu), kita pada mulanya jaringkan gol. Tidak lama selepas itu Bahrain pun balas (jaring gol). Ini kita kena jaga-jaga sikit.

"Selalunya kalau kita jaringkan gol, pihak lawan juga akan jaringkan gol. Kalau kita tak beri tumpuan, ini yang berlaku (kekalahan) semalam. Ini datangnya dari pengalaman.

"Tapi saya puji (Harimau Malaya). Kalau kita tengok rating, kita jauh lebih bawah daripada Bahrain. Tapi, kita memaksa Bahrain kerana kita yang kawal perlawanan. Pasukan Kim Pan-gon nampaknya ada sinaranlah," tambahnya.

Mengulas mengenai dua penyerang skuad kebangsaan, B. Sathianathan menyifatkan, corak permainan Darren Lok dan Guilherme De Paula adalah berbeza.

Tidak bersikap berat sebelah, beliau berkata, Darren Lok dilihat lebih berusaha dan banyak bergerak.

"Darren Lok ni bahaya bila dia bergerak dan sentiasa bawa pemain pertahanan ke ruang lain yang pemain boleh masuk ke ruang itu sebab dia banyak bergerak. Jadi, pergerakannya saya ingat lebih tajam daripada De Paula.

"Tapi saya ingat De Paula tak dapat sentuhannya langsung," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram