PADA musim ini, pasukan Kelantan FC di bawah pentadbiran Norizam Tukiman atau lebih dikenali sebagai Zamsaham sudah menunjukkan perkembangan positif apabila pasukannya kini menduduki tangga pertama Liga Premier setakat ini.
Walaupun tidak dibarisi pemain-pemain berstatus bintang, anak-anak buah Reezal Zambery Yahya berjaya mengumpul 22 mata untuk untuk kekal berada di puncak liga dengan tujuh kemenangan satu seri dan kekalahan.
Pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M) musim ini, Kelantan FC merupakan pasukan yang paling aktif dalam merombak skuad agar impian mereka untuk menjuarai Liga Premier tercapai sekali gus melayakkan mereka ke saingan Liga Super musim depan.
Antara perpindahan yang dilakukan oleh pasukan The Red Warriors (TRW) adalah dengan meminjamkan Mior Dani ke pasukan Sri Pahang sementara Natanael Siringoringo pula dipinjamkan ke pasukan Dewa United di Indonesia.
Pada Isnin, pasukan Kelantan FC memuat naik satu ciapan di Twitter, mengenai pemain import baharu yang akan beraksi bersama TRW yang sedang beraksi di dalam Liga Bahrain.
Disebabkan itu, penyokong TRW sudah membuat andaian bahawa khabar angin mengatakan pemain yang disebut-sebut oleh pengurusan Kelantan FC itu adalah pemain naturalisasi Bahrain iaitu Thiago Augusto Fernandes.
Berikut adalah lima sebab kenapa penyokong TRW patut teruja dengan kehadiran Thiago Agusto jika benar bakal menyertai kelab berpangkalan di Kota Bharu itu dalam masa terdekat:
Thiago mempunyai pengalaman luas di dalam saingan Liga M sehingga pernah membawa pasukan Felda dan Kedah ke peringkat separuh Piala Malaysia. — Facebook
1. Pengalaman bermain di Liga Malaysia
Sebelum Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memulakan projek program naturalisasi ke atas Guilherme de Paula dan Liridon Krasniqi, penyokong bola sepak sudah menamakan Thiago Agusto sebagai calon utama untuk beraksi bersama Harimau Malaya.
Sejak 2015 hingga 2017, Thiago Agusto yang wajahnya seiras bintang Liverpool, Diogo Jota sehingga digelar 'Diogo Jota Bahrain' pernah beraksi di dalam saingan liga domestik Malaysia bersama pasukan Felda United dan Kedah sebelum berhijrah kembali ke Bahrain bagi menyambung perjalanan kariernya.
Sepanjang beraksi bersama dua pasukan tersebut, Thiago berjaya menambat hati penyokong The Fighters dan Sang Kenari dengan aksi cemerlangnya dalam mengetuai jentera serangan pasukan.
Penyerang kelahiran Brazil itu juga memiliki pengalaman luas di dalam saingan Liga M sehingga pernah membawa pasukan Felda dan Kedah ke peringkat separuh Piala Malaysia pada 2015 dan 2016.
Thiago mempunyai rekod cemerlang apabila menjaringkan 36 gol dalam 41 penampilan bersama The Fighters. — Facebook
2. Mesin pencetak gol
Selesai pusingan pertama saingan Liga Premier, pasukan Kelantan FC hanya berjaya merekodkan 15 jaringan gol manakala pasukan di tangga kedua liga, JDT II pula menjaringkan 22 gol.
Kemasukan dua penyerang pemain import iaitu Kervens Belfort (Haiti) dan Nixon Guylherme (Brazil) tidak memberikan impak positif sebaliknya pemain tempatan Nurshamil Abd Ghani pula beraksi cemerlang.
Berdasarkan rekod, Thiago sangat cemerlang dalam menghasilkan jaringan bagi setiap pasukan yang diwakilinya seperti mana semasa dia mewakili pasukan Felda United sehingga menjadi penjaring terbanyak buat pasukan itu.
Pemain berusia 32 tahun mempunyai rekod yang cemerlang dalam saingan Liga M musim 2017 dan 2018 yang mana dia menjaringkan 36 gol dalam 41 penampilan bersama The Fighters.
Thiago memenangi pingat emas dalam temasya Military World Games serta merupakan penjaring terbanyak kejohanan. — Agensi
3. Kualiti kuota Asia
Selepas Thiago menjadi pemain naturalisasi skuad kebangsaan Bahrain pada 2019, dia kini layak untuk mengisi kekosongan slot pemain import dari Asia seperti yang diperuntukkan oleh Malaysian Football League (MFL).
Susah untuk mendapatkan pemain berkualiti berasal dari benua 'Asia' yang mampu menjaringkan gol dan berminat untuk bermain di dalam Liga M seperti penyerang kelahiran Brazil ini.
Thiago pernah mewakili pasukan Brazil bawah-20 tahun, tetapi tidak tersenarai dalam skuad akhir Kejuaraan B-20 Amerika Selatan 2009, yang mana Brazil muncul juara dan layak ke Piala Dunia B-20 FIFA 2009.
Bekas penyerang prolifik Felda United dan Kedah itu juga meraih kejayaan terbesar dalam karier bola sepaknya apabila pernah membantu Bahrain menjuarai Kejohanan Gulf of Nations Cup menewaskan Arab Saudi 1-0 di Doha pada 2019.
Thiago membantu Bahrain menjuarai Kejohanan Gulf of Nations Cup 2019. — Agensi
4. Mentaliti juara
Hasrat pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman untuk melihat pasukannya beraksi di saingan tertinggi liga domestik iaitu Liga Super musim depan mungkin berada di landasan yang tepat.
Ia selepas prestasi cemerlang dipamerkan anak buah Rezal Zambery Yahya dengan pasukan dari Pantai Timur itu juga menjadi calon untuk bergelar juara Liga Premier musim ini.
Dengan kehadiran Thiago pasti mampu memberikan tonik tambahan buat Kelantan kerana karakter yang dimiliki oleh pemain itu yang mana mampu membawa Bahrain menjuarai Kejohanan Gulf of Nations Cup, pastinya ditagih TRW.
Thiago juga pernah membantu Bahrain memenangi pingat emas dalam temasya Military World Games di China pada bulan Oktober 2019. Malah, dia juga merupakan penjaring terbanyak dengan rekod lima gol.
Gandingan Wan Zack dan Thiago merupakan ancaman terbesar buat pasukan lawan. — Facebook
5. Bentuk gandingan berbisa
Nama pemain Kelantan FC, Nurshamil Abd Ghani menjadi bualan penyokong tanah air susulan kecemerlangan sepanjang bermain bersama TRW sejak 2021.
Nurshamil merupakan pemenang anugerah Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Premier 2021 selepas menjaringkan sembilan gol pada musim tersebut.
Pemain kelahiran Melaka ini mampu bermain di posisi sayap dan memberi laluan kepada Thiago untuk menjadi penyerang TRW sekali gus membentuk satu gandingan yang berbahaya bagi pihak lawan.
Thiago juga dikenali dengan kemahiran menjaringkan gol melalui tandukan kerana faktor kelajuan dan fizikal yang mana Nurshamil boleh melakukan umpanan cantik supaya penyerang Bahrain itu boleh menjaringkan gol.
Semasa di Felda United sebelum ini, gandingan Wan Zack Haikal dan Thiago antara ancaman terbesar buat pasukan lawan setiap kali berdepan The Fighters pada waktu itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram