Brendan Gan bangkit lupakan 3 kecederaan utama, bantu Selangor belasah Sarawak United


  • Podium
  • Selasa, 21 Jun 2022

Brendan Gan membantu Selangor FC menang besar ke atas Sarawak United FC. — Facebook/Selangor FC

KIRA-KIRA setahun lalu, arena bola sepak tanah air dikejutkan dengan berita mengenai kapten Selangor FC, Brendan Gan yang disahkan menghidap penyakit kanser testis.

Kini Brendan kembali membuat penampilan di tengah padang apabila membantu Selangor FC mencatatkan kemenangan besar 7-0 ke atas Sarawak United FC dalam saingan Liga Super pada Ahad.

Tampil kali pertama pada musim 2022, Brendan hanya memerlukan tujuh minit untuk merobek gawang Sarawak United di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya, Selangor.

Malah, kehadiran pemain kacukan Malaysia-Australia berusia 34 tahun itu nyata membangkitkan semangat Gergasi Merah untuk berpesta gol di laman mereka sendiri.

"Cinta saya kepada bola sepak begitu mendalam. Bola sepak adalah antara perkara yang saya minati. Apabila diberikan kesempatan beraksi, sudah tentu ia cukup menggembirakan saya.

"Terima kasih kepada semua sokongan yang diberikan. Ia amat bermakna dan saya akan balasnya dengan aksi 100 peratus di tengah padang," katanya.

Selain kanser testis dihidapinya, Brendan yang juga tonggak Harimau Malaya sebelum ini berjaya bangkit daripada dua masalah kecederaan anterior cruciate ligament (ACL).

Kali pertama Brendan mengalami ACL adalah pada 2015 ketika dia menyarung jersi Kelantan dalam aksi Liga Super menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan.

Brendan sekali lagi dipalit kecederaan ACL ketika menggalas cabaran Harimau Malaya menentang Indonesia di Stadium Manahan, Jawa Tengah, Indonesia pada 6 September 2016.

Hanya sempat beraksi selama 15 minit, Brendan terpaksa dikeluarkan dan keputusan imbasan menunjukkan dia mengalami kecederaan ACL, namun selepas menjalani rawatan pemulihan selain disiplin diri yang tinggi, Brendan bangkit daripada masalah kecederaan ACL yang menghantuinya.

"Saya agak emosional pada perlawanan menentang Sarawak pada Ahad. Ini kerana sudah lama saya tidak beraksi dan kali ini berjaya membantu Selangor meraih tiga mata.

"Saya akan memberikan komitmen 100 peratus ketika beraksi. Saya juga akan cuba memperbaiki kelemahan diri dan membantu Selangor memperoleh keputusan positif," ujarnya. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram