Isu stadium melarat ke Kelantan, TRW cari penyebar fitnah, tepis dakwaan hutang


  • Podium
  • Isnin, 13 Jun 2022

Sebahagian daripada aksi pemain TRW Kelantan FC sewaktu menentang Kelantan United FC. — Facebook/ TRW Kelantan FC

PASUKAN Bola Sepak TRW Kelantan FC menafikan dakwaan mengatakan mereka tidak membayar sewa stadium dan padang latihan.

TRW Kelantan FC dalam satu kenyataan berkata, mereka tidak mempunyai apa-apa tunggakan hutang seperti sewaan stadium, padang latihan dan lain-lain seperti didakwa.

"Kami amat kesal dengan isu penyelenggaraan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu (SSMIV) yang masih belum disiapkan mengikut jadual berdasarkan surat rasmi Perbadanan Stadium Kelantan (PSK) bertarikh 8 Jun lalu.

"Menurut surat rasmi yang diterima oleh pihak kelab, SSMIV hanya boleh digunakan sepenuhnya selepas 30 Jun. Bilik persalinan yang tidak sesuai digunakan untuk saingan Liga Premier merupakan antara faktor utama SSMIV tidak mendapat kelulusan untuk diguna pakai," katanya.

Menurutnya, sebagai pasukan tuan rumah bagi perlawanan ke-10 saingan Liga Premier menentang pasukan JDT II FC pada 27 Jun depan, mereka terpaksa mencari venue alternatif sementara menunggu untuk beraksi di stadium keramat di Kota Bharu, Kelantan.

Dalam pada itu, TRW Kelantan FC juga mengambil serius dakwaan tersebut dan telah mengenal pasti beberapa individu yang menyebarkan dakwaan palsu tersebut.

Tambahnya, tindakan undang-undang juga akan diambil ke atas mereka yang menyebarkan fakta yang tidak tepat.

Baru-baru ini, Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur turut menjadi perhatian kerana masalah padang dengan air yang bertakung selepas dilanda hujan lebat.

Insiden air bertakung itu berlaku sebelum perlawanan peringkat kelayakan Piala Asia antara Malaysia dan Bahrain pada Sabtu lalu yang menyaksikan skuad Harimau Malaya tewas 1-2.

Bukan sekadar kualiti padang dan stadium, penyokong bola sepak negara turut mempersoalkan kualiti pengurusan stadium selepas dilihat menggunakan penyodok untuk membuang air yang bertakung. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram