Legenda Sarawak kongsi tips buat pengganti Sathianathan pulih reputasi SUFC


  • Podium
  • Rabu, 22 Jun 2022

Sarawak United kini berada di bawah pimpinan jurulatih baharu.  — MFL

KEADAAN bola sepak tempatan yang tidak menentu membuatkan tahap prestasi skuad Bujang Senang sukar untuk dinilai.

Sebagai individu yang berpengalaman, Jalil Ramli memandang positif kemasukan jurulatih baharu S.Balachandran ke dalam pasukan Sarawak United FC (SUFC) menggantikan B.Sathianathan.

Kata bekas kapten dan jurulatih Sarawak itu, perkara tersebut pasti akan mendorong ke arah perubahan positif dan mendatangkan kebaikan kepada semua pihak.

Namun, keseimbangan antara pemain muda dan senior perlu sama rata agar masing-masing dapat menonjol.

"Selain jurulatih, prestasi pemain perlu diambil kira apabila SUFC memiliki lambakan pemain senior yang rata-rata sudah mencecah umur lebih 30 tahun.

"Disebabkan itu corak permainan juga perlu diubah. Sekiranya mengikuti perkembangan bola sepak terdahulu, pasukan Sarawak pernah digeruni dan mencipta sejarah tersendiri," katanya kepada Majoriti.

Bagaimanapun beliau tidak menolak bahawa setiap pasukan mempunyai masalah dalaman masing-masing.

"Kita tidak tahu permasalahan apa yang dihadapi. Penyokong juga tidak adil untuk meletakkan beban di atas bahu jurulatih sekiranya pasukan gagal.

"Pemain muda juga perlu diberi peluang untuk bermain dan jangan hanya memberi fokus kepada pemain senior sahaja.

"Mungkin disebabkan belum matang dan mahir, pemain muda ini gagal memberikan yang terbaik, tetapi pengalaman akan memberi perubahan sekali gus menjadikan mereka mahir," jelas beliau.

Pada masa sama, Jalil Ramli juga melihat sekiranya pemain muda tidak diberi peluang maka pasukan hanya bergantung kepada pemain senior yang sudah berusia dan import dari luar negara.

Sementara itu, beliau turut memberi reaksi apabila ada penyokong yang mengharapkan perlawanan bola sepak antara wilayah Sarawak wajar diadakan bagi melahirkan wajah baharu.

"Kita tidak menolak ada ramai warga tempatan yang muda dan berkemahiran bermain bola sepak. Pada saya, pihak pengurusan mungkin perlu menyahut cabaran dan mengambil langkah drastik atau melakukan kajian mengenai keberkesanan perkara itu," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram