Harus realistik, ini 4 kelab Liga-M boleh selamatkan karier Luqman Hakim


  • Podium
  • Selasa, 07 Jun 2022

Penyokong meminta Luqman berpindah ke pasukan lain atau kembali ke Liga M untuk mendapatkan minit permainan. — Facebook

PENYERANG skuad bawah-23 negara, Luqman Hakim Shamsudin menjadi tumpuan utama peminat bola sepak negara apabila pasukan Harimau Muda tidak berjaya melangkah ke peringkat suku akhir dalam kempen Piala Asia B-23 2022 di Tashkent, Uzbekistan.

Kekalahan kedua berturut-turut dialami anak buah Brad Maloney selepas dibelasah 1-4 (Korea Selatan) dan terbaharu 0-3 oleh pasukan Thailand pada Ahad, melenyapkan peluang mereka untuk mengulangi prestasi terbaik pada 2018 apabila layak ke suku akhir.

Walaupun boleh dianggap berjaya menampilkan aksi cemerlang semasa temasya Sukan SEA 2021, Luqman tidak dapat mengulangi pencapaian tersebut malah tampil dengan aksi yang lebih mengecewakan buat pasukan negara.

Ia jelas berbeza dengan pemain Thailand sebaya usianya iaitu Suphanat Mueanta yang berjaya menampilkan aksi menakjubkan sehingga berhasil menjaringkan dua gol ketika membenam pasukan Malaysia di Stadium Milliy, Uzbekistan.

Luqman 2

Musim ini Luqman tidak melakukan sebarang penampilan bersama pasukannya K.V. Kortrijk. Facebook

Seorang peminat bola sepak Hafiz Wahid di dalam Twitter, mempersoalkan bagaimana untuk mengembalikan prestasi Luqman seperti dahulu ketika dia berusia 16 tahun.

"Soalan serius, macam mana nak dapat Luqman masa B-16 dulu? Salah posisi? Kurang minit bermain? Atau masih perlukan lebih masa untuk menyerlah," ciapnya dalam Twitter.

Perkara ini dipandang serius oleh ramai peminat dengan ada yang mengatakan pertandingan bawah-16 banyak menggunakan kelajuan dan 'shooting' berbanding di peringkat 'senior' yang lebih menjurus ke arah teknikal dan taktikal.

Ketika Akademi Mokhtar Dahari (AMD) di bawah pengurusan bekas penolong jurulatih pasukan Bayern Munich bawah-19, Lim Teong Kim pernah berkata, beliau lebih suka memberi pendedahan kepada pemain ketika usia tersebut.

"Mereka kena faham kami masih dalam proses pembangunan dan jika kami tak berjaya sekarang mungkin dua atau tiga tahun akan datang kami berjaya," kata Teong Kim dalam sidang media pada 2018.

Arif Aiman

Arif Aiman telah melakukan 14 penampilan, tujuh 'assist' bersama pasukan JDT. Facebook

Ada juga peminat yang meminta untuk Luqman berpindah ke pasukan lain ataupun kembali ke Liga Malaysia (Liga-M) untuk mendapatkan minit permainan kerana kualiti yang ditunjukkan oleh Arif Aiman jauh meninggalkannya.

Musim ini di K.V. Kortrijk, Luqman tidak melakukan sebarang penampilan manakala Arif Aiman sudah berjaya menembusi kesebelasan utama serta membuat 14 penampilan dengan melakukan tujuh 'assist' bersama pasukan Johor Darul Takzim (JDT).

Sebelum ini, kelab dan ejen Luqman telah mendedahkan sedia meminjamkannya ke pasukan lain supaya dia tidak terus tenggelam pada musim depan.

Oleh itu, tempat terbaik dan paling mudah untuk Luqman menghidupkan semula bakatnya adalah dengan beraksi di Liga Malaysia.

1513077

Pasukan Kedah telah mencipta beberapa pemain muda yang berbakat seperti Akhyar Rahid, Syafiq Ahmad dan Fadzrul Danel. Facebook

Pasukan Terengganu FC dan Kedah Darul Aman FC mungkin boleh menjadi pilihan utama buat Luqman mengembangkan bakatnya kerana umum ketahui dua pasukan ini sering menaikkan prestasi pemain muda.

Luqman juga boleh menyertai pengurusan baharu pasukan Perak FC yang dalam perancangan memantapkan skuad mereka bagi baki saingan Liga Premier.

Sarawak United mampu kembalikan sentuhan berbisa Luqman jika dia memilih untuk menyertai pasukan Ngap Sayot kerana ketua jurulatihnya, B. Sathianathan sering mengamalkan sifat keterbukaan dalam memberi peluang kepada pemain muda. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram