Percaya atau tidak, ini 5 kelab tak keluar modal pada 'transfer window' kedua


  • Podium
  • Selasa, 21 Jun 2022

Skuad Gergasi Merah antara kelab yang dikatakan kekal menaruh keyakinan terhadap pemain sedia ada setakat ini. — Facebook Selangor FC

MUSIM jendela perpindahan pemain (transfer window) merupakan antara yang mengujakan penyokong bola sepak tempatan meskipun kadang kala peminat terpaksa menerima hakikat bahawa mereka akan kehilangan bintang kesayangan gara-gara penghijrahan.

Namun, proses jendela perpindahan kedua pemain Liga Malaysia (Liga M) yang bakal menutup tirainya pada 24 Jun ini boleh dikatakan agak 'sendu' dengan hanya beberapa pasukan berbelanja besar dengan memborong beberapa pemain baharu bagi mengukuhkan skuad masing-masing setakat ini.

Di kala pasukan lain seperti Perak FC, Sri Pahang FC, Johor Darul Takzim (JDT), Terengganu FC dan Kedah Darul Aman FC dilaporkan berbelanja sakan mendapatkan khidmat wajah baharu, ada juga kelab yang memilih untuk tidak merekrut pemain baharu pada jendela perpindahan kedua kali ini.

Sama ada tidak mempunyai modal ataupun mempercayai dengan barisan pemain sedia ada, berikut merupakan antara lima pasukan yang tidak mengeluarkan modal dengan membeli pemain baharu pada jendela perpindahan kedua musim ini setakat ini:

1) Selangor FC

Sehingga kini, skuad dibawah kendalian Michael Feichtenbeiner itu masih tidak mempunyai sebarang desas-desus untuk membeli pemain baharu meskipun ada pemainnya yang sudah mengucapkan selamat tinggal kepada penyokong Selangor FC.

Nik Sharif Haseefy merupakan pemain pertama yang dilepaskan skuad Gergasi Merah selepas pasukan tersebut membuat keputusan untuk meminjamkan bintang berusia 25 tahun itu kepada Terengganu FC.

Selepas perpindahan Nik Sharif, ada juga yang menganggap Selangor meminjamkan pemain itu ke Terengganu sebagai usaha mereka memancing kelab Pantai Timur itu melepaskan Faisal Halim bagi menyertai Gergasi Merah musim depan.

Namun sehingga kini, Faisal dan Selangor tidak mengesahkan perkara itu, jadi berkemungkinan Michael masih yakin dengan skuad utamanya terutama penyerang import Merah Kuning, Herlison Caion de Sousa Ferreira yang berjaya meledak enam gol dalam lima perlawanan setakat ini.

2) Penang FC

penang

Barisan kesebelasan utama pasukan Penang FC sewaktu perlawanan menentang PJ City FC pada Sabtu. — Facebook Penang FC

Masih tidak memperoleh kemenangan pertama, Penang FC yang hanya mampu seri 1-1 menentang Petaling Jaya (PJ) City FC dalam aksi Liga Super pada Sabtu semestinya memerlukan rombakan baharu untuk pasukan Harimau Kumbang itu.

Sebelum ini, Majoriti melaporkan, Penang FC sememangnya mempunyai perancangan untuk membeli beberapa bintang baharu tetapi cabaran seperti kontrak pemain yang belum berakhir perlu diselesaikan terlebih dulu oleh pengurusan kelab itu.

Tidak hairanlah, pada perlawanan menentang PJ City FC, jurulatih Penang FC, Zainal Abidin Hassan masih menurunkan pemain yang sama sebagai kesebelasan utama seperti yang dilakukan oleh pengendali sebelum ini.

3) Sabah FC

sabah fc

Skuad The Rhinos berjaya merampas kedudukan JDT di tangga teratas Liga Super, selepas mencatatkan kemenangan tipis 2-1 ke atas Sri Pahang FC pada Sabtu. — Bernama

Sabah FC merupakan pasukan yang berbelanja besar pada awal musim 2022 yang mana skuad itu berjaya memasukkan pemain ternama negara seperti Baddrol Bakhtiar, Rizal Ghazali, Khairul Fahmi Che Mat dan tonggak Harimau Malaya, Dominic Tan.

Namun, persoalan sama ada Sabah FC akan mengeluarkan modal lagi pada jendela perpidahan kedua kali ini masih menjadi tanda tanya kerana pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee dilihat masih yakin dengan kekuatan barisan pemain sedia ada.

Prestasi dan keserasian pemain Sabah FC sememangnya tidak dapat dinafikan apabila pasukan berkenaan berjaya merampas kedudukan JDT sebagai pendahulu Liga Super dengan memperoleh 18 mata dari lapan perlawanan Liga Super setakat ini.

Tiga mata penuh juga berjaya diperoleh selepas kejayaan skuad The Rhinos menumpaskan Sri Pahang FC 2-1 pada perlawanan yang diadakan di Stadium Likas, Kota Kinbalu, Sabah pada Sabtu.

4) Melaka United

melaka

Barisan kesebelasan utama yang diturunkan Melaka United pada perlawanan menentang NSFC. — Facebook Melaka United

Satu lagi pasukan yang tidak 'membeli-belah' pada jendela perpindahan pemain kedua setakat ini adalah Melaka United yang mencatat seri 0-0 menentang Negeri Sembilan FC (NSFC), sekali gus hanya mampu menduduki carta kesembilan pada saingan Liga Super dengan merekodkan lapan mata daripada tujuh perlawanan.

Selepas perlawanan yang diadakan di Stadium Hang Jebat, Melaka, pada Sabtu itu, para penyokong Hang Tuah dikejutkan dengan berita perpindahan pemain sayap Melaka United iaitu Sony Norde.

Kehilangan Norde pasti membawa kesan kepada Melaka United ekoran pemain itu antara watak penting skuad Hang Tuah di bahagian sayap kiri, jadi tidak hairanlah penyokong pastinya menunggu pasukan itu untuk membeli pemain baharu sebagai pengganti Norde.

Namun impian membawa pemain baharu mungkin tidak akan berlaku selepas pengendali sementara Melaka United FC, Mohd Asri Ninggal mengatakan beliau berpuas hati dengan barisan pemain dan dijangka akan mengekalkan skuad itu tanpa ada perubahan ketika jendela perpindahan kedua ini.

5) Sarawak United

sarawak

Sebahagian pemain skuad Kenyalang Emas menjalankan latihan sebelum perlawanan menentang Selangor FC. — Facebook Sarawak United

Dengan status jurulatih Sarawak United, B Sathianathan yang terpaksa berehat seketika daripada bola sepak bagi menjalani rawatan kesihatan, pasukan itu mungkin akan memfokuskan untuk mencari pengendali baharu berbanding memburu pemain baharu buat masa ini.

Menurut Sathianathan, kedudukan beliau selaku pengendali Sarawak United akan dibincangkan bersama pengurusan tertinggi dan ketika ini ia bakal dipikul penolongnya, Ahmad Nurfaizal Patrick Abdullah.

Tambahan pula, Sarawak United juga masih dalam proses menguji pemain baharu termasuk bintang import Kenyalang Emas yang dibeli sewaktu jendela perpindahan pertama Liga M 2022.

Untuk rekod, Kenyalang Emas merekrut khidmat pemain tengah kacukan Perancis-Kemboja, Boris Kok, Francis Kone iaitu penyerang Ivory-Togo dan juga pertahanan Argentina-Itali, Gonzalo Manuel Soto namun persembahan ketiga-tiga pemain itu belum cukup memikat hati peminat terutamanya Kone. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram