Nasihat buat Daniel Ting, pilih kemewahan atau minit permainan?


  • Podium
  • Isnin, 20 Jun 2022

Status Ting untuk ke JDT masih lagi belum diketahui. — Agensi

KHABAR angin mengenai Daniel Ting yang bakal menyertai pasukan baharu semakin tersebar luas.

Sebelum ini, nasib pemain naturalisasi Kuala Lumpur City FC (KL City) itu menjadi tanda tanya menjelang musim Liga Super tahun ini.

Pemain itu dilaporkan tidak melaporkan diri bersama skuad KL City pada awal musim ini dan dikatakan sukar untuk kembali ke Malaysia atas faktor peribadi.

Pengurusan KL City juga dilaporkan menamatkan kontraknya lebih awal menerusi 'mutual agreement'.

Namun, Ting dipercayai bakal membuat penampilan semula dalam pentas bola sepak tempatan.

Pemain berusia 30 tahun itu difahamkan bakal beraksi bersama pasukan Johor Darul Takzim (JDT).

d27f07bf4cebd9e094813440f2931a293021523a

Irfan Bakti berkata, JDT tidak akan mengambil pemain secara sembarangan. — Facebook Terengganu FC

Mengulas mengenai perkara itu, Irfan Bakti Abu Salim berkata, JDT tidak akan mengambil pemain secara sembarangan, sebaliknya, pemilik kelab itu, Tunku Mahkota Johor (TMJ) akan menyelidik terlebih dahulu pemain yang benar-benar terbaik.

Apatah lagi, pengendali Kuching City FC (KCFC) itu berkata, sudah tentu kelab tersebut mahukan pemain naturalisasi yang sudah pun membangun.

Namun, katanya, Ting masih lagi belum menunjukkan persembahannya yang sebenar.

"Kalau Ting masuk JDT, sudah tentu bagus kerana ia adalah kelab mewah, yang membangun di negara kita.

"Satu kelebihan yang baik untuk dia kalau dapat masuk situ. Kalau sekarang JDT pun dah ramai sangat pemain naturalisasi. Kalau dia pergi maknanya bertambah kuat lagi JDT," katanya kepada Majoriti.

Ketika ditanya kelab lain yang boleh menjadi destinasi Ting, Irfan berkata, perkara itu terpulang kepada jurulatih pasukan yang memutuskan untuk 'melamar' pemain tersebut.

"Kalau Kuching City, kami sudah cukup pemain asing. Kami hanya boleh menggunakan empat orang.

"Jadi, kami tak boleh ambil lebih dan tengok juga posisi yang nak diguna pakai," jelasnya.

Tambahnya, sama ada Ting patut dipanggil beraksi bersama Harimau Malaya pada Piala Asia 2023, semuanya juga terpulang kepada penilaian ketua jurulatihnya, Kim Pan-gon.

Katanya, Pan-gon juga tidak akan mengambil pemain secara sembarangan selain akan membuat penelitian, memandangkan kejohanan Piala Asia akan berlangsung setahun sahaja lagi.

"Ini (penelitian) akan dibuat terutamanya kepada pemain-pemain asing.

"Termasuk De Paula (Guilherme) yang dah lanjut usia. Takkan nak kekalkan lagi?

"Kalau Ting lagi baik dari De Paula, mungkin dia akan ambil," katanya.

Tuju ke pasukan stabil selain JDT

1355090

Mohd Sadek menganggap satu kerugian buat Ting sekiranya berada di bangku simpanan JDT. — Foto kredit: Malay News

Sementara itu, Mohd Sadek Mustaffa mencadangkan Ting supaya menyertai pasukan stabil yang lain, termasuk Selangor FC dan Negeri Sembilan FC bagi mengimbangkan minit permainan.

Pemerhati bola sepak tempatan itu berkata, perkara itu penting bagi seseorang pemain bola sepak yang bukan sekadar memanaskan bangku simpanan.

Mohd Sadek berkata, sekiranya Ting bermain untuk JDT, beliau tidak pasti sama ada pemain itu akan ditempatkan di JDT atau JDT II.

"Tapi dekat JDT II pun mereka telah mempunyai ramai pemain.

"Kesukaran beliau untuk mendapatkan minit permainan adalah sungguh luar biasa. Kalau beliau betul-betul perform, itu perkara yang beliau sendiri uruskan," katanya.

Justeru, Mohd Sadek berkata, kemasukan Ting ke JDT merupakan satu kerugian buat beliau sekiranya berada di bangku simpanan.

Namun, nasibnya boleh berubah jika Ting menyertai pasukan-pasukan yang mampu menjanjikan minit permainan, menawarkannya untuk berada pada kesebelasan utama atau supersub.

"Itu yang penting, atau dia boleh main dekat liga lain di luar negara," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram