MASA depan pemain naturalisasi Kuala Lumpur City FC (KL City), Daniel Ting sebelum ini menjadi tanda tanya menjelang musim Liga Super tahun ini.
Pemain itu dilaporkan tidak melaporkan diri bersama skuad KL City dan dikatakan sukar untuk kembali ke Malaysia atas faktor peribadi.
Pengurusan KL City juga dilaporkan menamatkan kontraknya lebih awal menerusi 'mutual agreement'.
Namun, Ting dipercayai bakal membuat penampilan semula dalam pentas bola sepak tempatan.
Ting difahamkan bakal beraksi bersama pasukan Johor Darul Takzim (JDT).
Selain KL City, Ting juga pernah beraksi bersama PKNS FC atau kini lebih dikenali sebagai Selangor II pada 2018.
Ketika itu, pemain yang dilahirkan di Cheshire itu membantu PKNS yang dikendalikan Datuk K. Rajagobal menamatkan saingan Liga Super di tangga ketiga selain mara ke peringkat separuh akhir Piala FA dan suku akhir saingan Piala Malaysia.
Ting memilih untuk meninggalkan PKNS pada akhir musim 2018 dan dikhabarkan untuk bersara.
Namun Ting kembali beraksi di Malaysia dengan menyertai KL City pada 2021.
Ting sebelum ini pernah menyatakan hasrat untuk mewakili skuad kebangsaan bagi saingan Piala AFF Suzuki 2020 tetapi hajatnya tidak menjadi kenyataan apabila ketua jurulatih skuad kebangsaan ketika itu, Tan Cheng Hoe memanggil pemain lain sekali gus dia tidak disenaraikan.
Sepanjang beraksi bersama KL City, pemain berusia 30 tahun itu berjaya membantu KL City memenangi saingan Piala Malaysia musim 2021 dengan menewaskan JDT di pentas akhir. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram