KONTROVERSI membabitkan pemain Kuala Lumpur City FC (KL City), Daniel Ting yang masih tidak melapor diri menjelang musim baharu Liga Super berikutan masalah keluarga, menimbulkan 1001 persoalan.
Susulan itu, pihak pengurusan KL City dilaporkan mahu menamatkan kontraknya terlebih awal.
Namun, ada pihak mendakwa terdapat pasukan yang menggunakan cara 'pintu belakang' untuk mendapatkan Ting.
Sehingga kini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak pengurusan KL City berhubung masa depan pemain tersebut.
Isu pintu belakang atau 'tapping up' ini bukan perkara baharu dalam saingan bola sepak tempatan.
Malahan beberapa isu perpindahan melibatkan pemain tempatan turut diselubungi kontroversi.
AKHYAR menebus kontraknya untuk berhijrah ke JDT. — Facebook
Saga perpindahan Akhyar
Pada 2018, bintang Harimau Malaya, Akhyar Rashid dilaporkan menjadi buruan Johor Darul Ta'zim (JDT) selepas menjadi ejen bebas.
Kedah Darul Aman FC (KDA FC) mengesahkan Akhyar menghantar permohonan untuk berpindah ke JDT secara rasmi.
Bagaimanapun KDA FC menegaskan JDT cuba mendapatkan Akhyar tanpa sebarang hitam putih.
Dakwaan itu dibidas oleh Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards yang menyatakan Akhyar sendiri mahu menamatkan kontraknya dan mahu berpindah ke pasukan Harimau Selatan itu.
Pada Disember 2018, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membenarkan Akhyar menebus kontraknya bernilai RM210,000 kepada KDA FC.
Selepas Akhyar Rashid bergelar ejen bebas, mana-mana pasukan yang menandatangani beliau perlu membayar RM75,000 kepada Kedah untuk pampasan latihan ataupun pembangunan.
Di sebalik semua kemelut, Akhyar akhirnya bergelar pemain JDT pada musim 2019.
SUMAREH enggan bermain dengan Pahang kerana masalah gaji. — Facebook
Sumareh ada perancangan tersendiri dan rapi?
Seorang lagi pemain yang didakwa dimeterai menerusi pintu belakang adalah pemain kelahiran Gambia, Mohamadou Sumareh.
Pada 2020, Sumareh yang ketika itu beraksi bersama Pahang FC dilaporkan tidak menjalani latihan selama sebulan selepas pasukan itu gagal membayar gaji pemain itu.
Tidak lama selepas itu, Sumareh menghantar surat pembatalan kontraknya kepada Pahang FC berdasarkan Klausa 8.7 yang menyatakan bahawa pemain boleh membatalkan kontrak jika pasukannya tidak membayar gaji lebih dari satu kali.
Susulan itu, Sumareh dikaitkan dengan perpindahan ke JDT dan Selangor FC.
Namun apa yang mengejutkan, Sumareh tiba-tiba dikaitkan berpindah ke kelab Thailand, Police Tero FC, seminggu sebelum perpindahan ditutup pada September 2020.
Menurut penganalisis bola sepak tempatan, Khalid Ali, perpindahan kontroversi Mohamadou Sumareh ke Police Tero dianggap sebagai satu persinggahan sementara sebelum menyertai pasukan seterusnya.
Beliau menyifatkan penghijrahan itu sebagai suatu ‘tempoh bertenang’ selepas Sumareh menamatkan kontrak bersama pasukan Pahang mengikut Klausa 8.7, seterusnya menyebabkan pemergiannya ke Thailand diselubungi misteri dan kontroversi.
Tindakan itu juga membolehkan Sumareh bebas untuk memilih pasukan baharu tanpa perlu membayar sebarang yuran perpindahan atau harga yang dirasakan perlu untuk mendapatkan khidmat pemain naturalisasi pertama Malaysia itu.
Berdasarkan isu yang semakin panas itu, Khalid merasakan ada perancangan tersusun yang lain di sebalik tindakan berani Sumareh meninggalkan pasukan yang bertanggungjawab menaturalisasikan beliau.
Hanya sempat bermain sebanyak empat kali di Police Tero, Sumareh diumumkan sah menyarung jersi JDT pada Februari 2021.
Isu pintu belakang sewajarnya perlu diberi perhatian lebih khusus oleh FAM. FAM mungkin boleh mengubah struktur perpindahan pemain seperti yang dilakukan di Eropah.
Sekiranya tindakan ini terus berlaku, jangan diharap ada kemajuan akan dicapai dalam bola sepak negara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram