Kontroversi Daniel Ting pencetus idea baju 'Tangan Panjang'


DANIEL (dua, kiri) meraikan kejayaan bersama rakan sepasukan apabila menjuarai Piala Malaysia pada tahun lalu. — Twitter

SUSULAN kontroversi status kontrak pemain pertahanan KL City, Daniel Ting sama ada kekal bersama Juara Piala Malaysia itu, peminat bola sepak tanah air tampil dengan pelbagai spekulasi.

Daniel Ting antara watak utama yang membantu KL City FC menjulang juara Piala Malaysia pada musim lalu.

Dia memulakan karier di Liga Malaysia bersama JDT pada 2016, sebelum menyertai PKNS FC dua musim selepas itu.

Pemain yang dilahirkan di Cheshire itu membantu PKNS yang dikendalikan Datuk K.Rajagobal ketika itu menamatkan saingan Liga Super di tangga ketiga selain mara ke peringkat separuh akhir Piala FA dan suku akhir saingan Piala Malaysia.

Daniel Ting mengumumkan beliau meninggalkan PKNS pada akhir musim 2018 namun bukan untuk menyertai pasukan lain tetapi dikhabarkan memilih untuk bersara.

Musim 2021 khidmat pemain berusia 29 tahun itu kemudiannya ditagih KL City FC kendalian Bojan Hodak.

Dengan kontroversi terbaharu yang timbul, antara yang mendakwa pemain naturalisasi itu akan berhijrah ke selatan tanah air dan ada juga laporan menyebut bintang pertahanan itu tidak dapat pulang ke Malaysia kerana ada urusan peribadi di England.

Malah pengurusan KL City juga dilaporkan bersedia untuk menamatkan kontraknya lebih awal menerusi 'mutual agreement' dan perkara itu disahkan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KL City FC, Stanley Bernard dua hari yang lalu.

Mengulas tentang situasi semasa pemain kelahiran England itu, pengguna Facebook Arm Abdullah II, mengakui dia minat dengan cara Daniel bermain.

"(Daniel) antara yang boleh ganti Quentin Cheng (pemain pertahanan Selangor FC). Tapi macam payah KL nak lepaskan, alih-alih macam ni pula jadinya.

"Memang tak hairan kalau drama macam ni sebab dah tahu (Daniel) pergi ke mana," katanya dalam ruangan komen Penang Brotherhood.

Tun Teja pula tampil dengan komen sinis memerli kelab yang suka 'mencuri' pemain kelab lain tanpa menggunakan saluran betul.

"Mohon min (admin) buat baju "tangan panjang"," tulisnya.

"Tangan ghaib vs Tangan panjang," balas Azzirul Qayyum dalam komen yang sama.

'Tangan Ghaib' merujuk kepada dakwaan wujudnya pihak yang campur tangan dalam pengurusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

FAM berulang kali menegaskan tidak wujudnya istilah itu dalam kepimpinanan mereka termasuk selepas kalah dalam saingan Piala Suzuki AFF di Singapura pada hujung tahun lalu.

Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim juga menyifatkan dakwaan wujudnya 'tangan ghaib' sebagai alasan untuk sesetengah pihak menyelamatkan diri daripada dipersalahkan dalam kegagalan di Piala Suzuki AFF.

Malah Tunku Ismail turut mencetak baju tertulis 'Tangan Ghaib' untuk dijual oleh kelabnya.

Tindakanya itu dipercayai berpunca daripada segelintir pihak yang membuat spekulasi dengan mengaitkan beliau sebagai tangan ghaib dalam FAM dan pasukan kebangsaan terutama selepas kegagalan skuad Harimau Malaya di Piala Suzuki AFF 2020. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram