SPEKULASI membabitkan masa depan pemain naturalisasi Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Daniel Ting menjadi polemik hangat warganet di media sosial sejak Isnin.
KL City sebelum ini dilaporkan akan menamatkan kontrak Ting lebih awal berikutan pemain itu dikatakan mengalami masalah keluarga di United Kingdom (UK) dan gagal melapor diri.
Bagaimanapun, ada dakwaan mengatakan Ting cuba disambar oleh pasukan lain menerusi 'pintu belakang', sekali gus mengundang kecaman para peminat bola sepak tempatan yang berang dengan tindakan sesetengah kelab disifatkan tidak beretika.
Mengulas berhubung isu berkenaan, bekas ketua jurulatih kebangsaan, B. Sathianathan berkata, Ting bukan sahaja boleh digantung di Malaysia malahan mana-mana liga di dunia sekiranya dia tidak melalui proses perpindahan yang ditetapkan oleh undang-undang bola sepak profesional.
"Dia ada kontrak dengan KL City. Kalau tiada kontrak, dia ejen bebas.
"Tapi kalau dia ada kontrak, dia tak boleh cakap dia tak mahu main. Dia perlu keluar dari KL City kalau enggan bermain.
"Kalau dia tak mahu main, dia kena keluar daripada menjadi pemain profesional, jadi pemain amatur sahajalah," katanya kepada Majoriti.
Tambah Sathianathan, Ting sepatutnya duduk berbincang dengan pihak pengurusan KL City sekiranya benar-benar tawar hati untuk bermain bersama kelab itu musim depan.
"Pengurusan KL City boleh letak syarat sekiranya mahu melepaskan dia.
"Masalah pokoknya, adakah KL sudah mendapatkan tandatangan Ting atau tidak. Adakah dia sudah dapat kontrak, dia tandatangan dan kembalikan kontrak itu?
"Kalau ada kontrak, memang susah untuk dia. Kalau tiada kontrak, apakah perjanjian Ting dengan KL City, itu yang kita nak tahu," ujarnya lagi.
Dalam perkembangan sama, pihak Majoriti cuba mendapatkan maklum balas berhubung perkara ini daripada KL City FC, namun kelab itu tidak memberikan sebarang jawapan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram