KUALA Lumpur (KL) City FC memperkenalkan penjualan ‘Tiket Combo RM40’ untuk menyaksikan kedua-dua perlawanan skuad The City Boys pada saingan Kumpulan H Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2022 di Kuala Lumpur, bermula minggu depan.
Selain dua perlawanan membabitkan KL City menentang wakil Indonesia PSM Makassar pada aksi pembukaan 24 Jun dan Tampines Rovers dari Singapura (30 Jun), pakej tersebut turut membolehkan penyokong menonton pertembungan antara PSM Makassar dan Tampines Rovers 27 Jun ini.
Kesemua perlawanan akan berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras.
Pada masa sama, KL City turut memperkenalkan ‘Tiket Combo Grand Stand RM100’ untuk memberikan peluang kepada penyokong menyaksikan ketiga-tiga perlawanan dari kawasan astaka utama stadium.
"Kedua-dua pakej menawarkan diskaun sebanyak 46.67 peratus dan 33.33 peratus berbanding harga tiket asal dan hanya boleh didapati secara eksklusif bermula 17 Jun di laman sesawang Ticket Hotline iaitu www.tickethotline.com.my,” menurut kenyataan KL City pada Jumaat.
Sementara itu, penyokong yang memilih untuk menonton perlawanan tertentu boleh membeli tiket yang dijual dengan harga RM25 bagi tempat duduk umum dan RM50 (astaka utama) dengan tiket akan dijual bermula 22 Jun dari jam 2 petang hingga 7 malam setiap hari di kaunter stadium.
Kemasukan bagi kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah adalah percuma, namun mereka perlu diiringi ibu bapa atau penjaga yang memiliki tiket perlawanan.
Turut ditawarkan KL City adalah tempat duduk peribadi yang dikenali sebagai Kawasan Keluarga & Rakan iaitu penyokong akan duduk secara khas pada jarak yang selamat daripada orang ramai ketika menyaksikan perlawanan dengan tiket berharga RM300 setiap perlawanan.
Penyokong yang berminat boleh menghubungi KL City di talian 019-2017466 atau menerusi applikasi WhatsApp di nombor yang sama bagi mendapatkan butiran atau membuat tempahan.
Dalam pada itu, ahli ‘B2 City Boys’ boleh mendapatkan tiket dengan harga RM32 yang disediakan untuk kemasukan pemegang tiket bermusim bagi menonton ketiga-tiga perlawanan Piala AFC.
"Setiap pemegang tiket bermusim dengan tambahan bayaran Piala AFC diberi kelebihan membawa tetamu berumur Bawah 18 Tahun tanpa had dengan caj kemasukan RM2 seorang. Untuk kanak-kanak berumur 12 tahun dan ke bawah, kemasukan kekal percuma,” menurut kenyataan itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram