PENYERTAAN Kedah Darul Aman (KDA) FC dalam Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) tahun ini dilihat sangat bernasib baik kerana di peringkat kumpulan hanya akan bertemu dengan pasukan Asia Tenggara (Asean).
Bagaimanapun, terdapat segelintir penyokong yang tidak yakin bahawa pasukan itu akan berjaya dalam saingan tersebut, malah mungkin tidak melepasi peringkat kumpulan.
Perkara itu dikongsi seorang peminat bola sepak tempatan, Ijam Mk menerusi Facebok Liga Super Malaysia 2022.
Menurutnya, KDA FC beruntung kerana hanya bertemu pasukan Asean di peringkat awal tidak seperti Johor Darul Takzim (JDT) yang bertemu kelab dari Liga Jepun dan Liga Korea.
Dalam saingan peringkat kumpulan, KDA FC diundi dalam Kumpulan G bagi saingan Piala AFC 2022 bersama tiga pasukan lain iaitu, Kaya FC (Filipina), Bali United FC (Indonesia) dan Visakha FC (Kemboja).
Meskipun begitu, Ijam turut menyatakan bahawa pada pandangannya, peminat KDA FC sendiri tidak yakin bahawa pasukan itu boleh melepasi saingan peringkat kumpulan.
Hal ini dinyatakan atas beberapa faktor seperti berikut:
Taktikal Aidil semakin diragui dalam kalangan penyokong Kedah sendiri.
1. Taktikal lapuk
Keresahan penyokong Sang Kenari terhadap isu taktikal Aidil Sharin Sahak memang ada asasnya.
Tidak seperti musim sebelum ini, taktikal yang diterapkan dilihat 'kena' dengan adunan pemain, sekali gus menempatkan mereka sebagai pasukan kedua terbaik pada tahun lepas.
Tetapi musim ini menyaksikan kritikan banyak dilemparkan terhadap taktikal Aidil yang dilihat kuno, carca marba dan mudah dibaca.
Perkara itu pernah diakui sendiri oleh Aidil ketika pasukannya tewas 1-4 kepada Selangor FC kerana beraksi menggunakan tiga pertahanan, apatah lagi ketika berkunjung ke kubu lawan.
Corak permainan Kedah juga pada musim ini tidak konsisten, mungkin disebabkan faktor ramai muka baharu dalam skuad selain persefahaman yang masih kurang antara pemain selain mengambil masa untuk memahami taktikal Aidil.
Kehilangan Syafiq merentap jentera serangan Kedah.
2. Pemain belum bersedia
Dari segi persediaan pemain, Kedah nampaknya bergantung kepada beberapa muka baharu termasuk pemain import yang mempunyai pengalaman di AFC.
Selepas mengharungi aksi terumbang-ambing sepanjang musim ini, peminat merasakan skuad Aidil belum benar-benar bersedia untuk berentap dengan jaguh-jaguh Asean dari Indonesia, Filipina dan Kemboja.
Semua sedia maklum bahawa saingan di AFC menuntut persaingan fizikal, kecergasan dan taktikal yang tinggi untuk mencapai kemenangan memandangkan kejohanan ini melibatkan penggunaan pemain import/
Kehilangan Syafiq Ahmad yang dipanggil pulang ke JDT, merentap sengat Kedah tatkala bintang Harimau Malaya itu dilihat semakin serasi digandingkan dengan Ronald Ngah Wanja, penyerang berbisa dari Liga Jordan.
Tetapi perkara positif yang dicapai buat masa ini adalah kemasukan pertahanan baharu dari Melaka United FC, Mohd Akmal Zahir bagi menggantikan Jang Suk-won yang bersetuju meninggalkan kelab itu atas persetujuan bersama, dilihat memberi nafas baharu di bahagian pertahanan selepas skuad Hijau Kuning dirobek 17 kali dalam sembilan perlawanan Liga Super musim ini.
Selain itu, penambahan pemain import berpengalaman seperti Sanrawat Detchmitr juga dapat membantu Derchi Marcel yang kelihatan memerlukan sokongan di bahagian tengah.
Dengan masa yang semakin suntuk, Kedah mengharapkan dapat mencari pengganti Syafiq dengan memancing bintang Jordan, Mahmoud Al-Mardi selepas usaha mendapatkan seorang lagi tonggak negara sama, Ahmed Israiwah gagal dicapai.
Aksi Kedah dalam saingan Liga Super kurang memberangsangkan.
3. Hambar dalam saingan liga
Statistik setiap perlawanan Kedah pada musim ini sudah membuktikan segalanya.
17 bolos dan 13 jaringan bukan pencapaian yang baik selepas mengharungi sembilan perlawanan Liga Super musim ini.
Berada di tempat keempat dengan 14 mata hasil empat kemenangan, dua seri dan tiga kalah, memberi bayangan Kedah belum mencapai tahap optimum untuk bersaingan di AFC.
Dengan kehadiran muka baharu, Aidil mempunyai masa yang singkat untuk mempersiapkan skuad, sekali gus meresahkan penyokong yang khuatir pasukan kesayangan mereka bakal 'dipulun' di AFC.
Kedah akan bertemu Bali United pada 24 Jun, kemudian Kaya F.C.–Iloilo pada 27 Jun dan perlawanan terakhir menentang Visakha FC pada 30 Jun. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram