Import baharu Tok Gajah lulus ujian pertama


  • Podium
  • Sabtu, 18 Jun 2022

Kevin Ingreso, (Filipina), Sherzod Fayziev, (Uzbekistan) dan Steven Rodriguez dari Colombia sewaktu menandatangani kontrak bersama Sri Pahang.

PASUKAN Sri Pahang FC mengumumkan empat muka baharu termasuk tiga import pada jendela perpindahan kedua kali ini untuk memperkuatkan skuad Tok Gajah bagi menghadapi saingan Liga Malaysia pada musim ini.

Pemain baharu yang berjaya direkrut ialah Steven Rodriguez dari Colombia, Kevin Ingreso (Filipina), Sherzod Fayziev, (Uzbekistan) serta pemain tempatan, Mior Dani Armin Mior Ariffin yang dipinjamkan dari Kelantan FC.

Antara nama pemain import yang menarik perhatian penyokong Sri Pahang ialah pemain pertahanan tengah antarabangsa Uzbekistan, Sherzod Fayziev berikutan aksi cemerlangnya pada perlawanan persahabatan menentang Kuala Lumpur City FC.

Penyokong tegar Tok Gajah, Panthera Tigris Jacksoni menyatakan sewaktu menentang juara Piala Malaysia itu, Fayziev menampilkan gaya permainan yang cukup bagus sehingga boleh mengawal penyerang KL City, Romel Morales.

"Ada orang tanya centerback Uzbekistan baru Sherzod Fayziev itu bagus dari Johan Martial ke? Bukan setakat bagus tapi cara dia marking lawan cukup kemas..

"Masa lawan KL baru-baru ini muka Sherzod Fayziev hanya beberapa centimeter dari muka Romel Morales," katanya.

Kehadiran Fayziev adalah untuk menggantikan pemain Perancis, Johan Martial yang terpaksa disisihkan akibat kecederaan.

SHERZOD 1

Sherzod Fayziev merupakan pemain pertahanan tengah antarabangsa Uzbekistan.

Meskipun tidak pernah beraksi di luar negaranya, pemain berusia 30 tahun itu memiliki pengalaman luas pernah beraksi di pertandingan elit Liga Juara-Juara AFC dan beberapa kejohanan antarabangsa bersama skuad kebangsaan Uzbekistan.

Fayziev pernah menyarung jersi Metallurg BK, AGMK Olmaliq, Sogdiana dan Lokomotiv Tashkent di Liga Uzbekistan.

Selain Fayziev, pemain berumur 23 tahun, Mior Dani turut diberikan pujian oleh penyokong Sri Pahang selepas melihat aksinya pada perlawanan persahabatan.

Dalam pada itu, penyokong Tok Gajah itu turut memberikan pendapat mengenai perlawanan Sri Pahang menentang Sabah FC pada Sabtu yang mana dia menjangkakan Azam Azih akan direhatkan berikutan pemain itu baru sahaja selesai menjalankan tugas bersama Harimau Malaya.

"Kami menjangkakan Christophe Gamel akan merehatkan Azam Azih untuk perlawanan malam esok (Sabtu) memandangkan Pahang sudah menjalani beberapa siri aksi persahabatan tanpa kelibat Azam.

"Kalau ada pun Azam mungkin akan berada di bangku simpanan untuk sebarang kemungkinan sekiranya pemain di atas padang gagal melaksanakan perancangan Christophe Gamel. Ramalan Sabah 3 Sri Pahang 4," katanya.

Pasukan Tok Gajah dijadual akan berdepan dengan Sabah FC dalam perlawanan Liga Super yang akan berlangsung di Stadium Likas di Kota Kinabalu pada Sabtu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram