IBARAT kata pepatah, rumah siap, pahat berbunyi. Begitulah keadaan selayaknya menggambarkan kemenangan pasukan negara menewaskan Bangladesh dalam perlawanan kumpulan E tempoh lalu (Selasa).
Meskipun berjaya mengakhiri penantian 42 tahun untuk mara kepusingan Piala Asia, namun itu belum cukup memuaskan hati semua pihak lebih-lebih lagi mereka yang terlibat dalam bidang sukan.
Perkara itu susulan wujud perdebatan antara pemberian imbuhan antara pemain bola sepak Harimau Malaya yang berjaya ke Piala Asia 2023 dengan skuad hoki lelaki negara ke Piala Dunia 2023.
Pada Rabu, Perdana Menteri mengumumkan, kerajaan akan membincangkan imbuhan sewajarnya kepada skuad Harimau Malaya atas kejayaan melayakkan diri ke Piala Asia 2023.
"Segala bentuk imbuhan dan sebagainya kita akan bincangkan nanti bersama menteri berkenaan iaitu Menteri Belia dan Sukan kepada mereka," kata Datuk Seri Ismail Sabri.
Namun pengumuman Perdana Menteri itu dilihat sebagai berat sebelah dan menganaktirikan skuad hoki negara yang cemerlang mengharumkan nama negara tetapi difahamkan tidak menerima sebarang imbuhan.
Memetik perkongsian bekas Pengurus Pasukan Selangor, Zakaria Rahim atau lebih dikenali sebagai Zack Rahim di Facebook, meluahkan rasa terkilan dengan konsep pemberian imbuhan antara bola sepak dan hoki.
Skuad hoki negara setakat ini konsisten dalam setiap kejohanan besar.
Beliau mendakwa, pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak hadir memberi sokongan mahupun menyambut kepulangan barisan pemain meskipun perlawanan hanya berlangsung di Indonesia.
"Mereka pulang pun tak disambut. Mereka ada yang kerja technician, kerani dan paling tinggi Inspektor Polis. Ada yang masih student. Mudahnya, majoriti mereka B40.
"Pasukan terjun negara yang rata-rata athlet muda remaja sapu bersih semua 8 pingat emas di Sukan SEA tak ada imbuhan, tak disambut? Kimberly Bong 20 tahun - emas, Ong Ker Ying, 20 tahun - emas, Nur Dhabitah, 22 tahun - 2 emas, Gabriel Gilbert Daim, 20 tahun - emas, Bertrand Rhodick ak Lises, 18 tahun - emas. Separuh mereka anak kampung di Sarawak dan student. Category B Berapa pula ni?
"Tiba-tiba team bola sepak yang jadi pasukan yang ke-23 dari 24 team layak ke Piala Asia diberi layanan istimewa, dipertimbangkan imbuhan? Sedangkan mereka semua bergaji puluhan ribu, berkereta mewah, celebrate di night club dan golongan T20," katanya.
Jelasnya lagi, selepas mengesahkan tempat ke Piala Asia 2023, Malaysia berada dalam pot 4 atau balang undian terakhir. Membezakan antara tiga lain yang majoriti merupakan pasukan top carta 100 Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
"Malaysia memiliki 10 bulan lagi untuk membuktikan keupayaan berpindah ke pot 3 atau berada dalam top 100 FIFA. Untuk mencapai ke arah itu, skuad negara perlu kalahkan team top 100 dalam perlawanan persahabatan antarabangsa.
"Namun, tidak semua team top 100 sudi hendak berlawan dengan pasukan dari ranking bawahan apabila Malaysia berada di kedudukan 154 setakat ini," katanya.
Tidak hanya terkait dengan kedua-dua sukan itu sahaja, Zack Rahim turut meminta agar KBS mengkaji semula imbuhan kepada barisan atlet renang yang turut mengharumkan nama negara di mata dunia apabila berjaya membawa pulang pingat emas di kejohanan Sukan SEA 2022 seperti Kimberly Bong, Ong Ker Ying, Nur Dhabitah, Gabriel Gilbert Daim dan Bertrand Rhodick ak Lises.
Beliau turut mengharapkan pertimbangan pihak KBS dalam mengaji semula pemberian imbuhan bergantung kepada keutamaan. Sebaiknya imbuhan tersebut diberikan kepada pasukan berbanding perseorangan pemain.
"Beri imbuhan kepada team U17 yang rata-rata pelajar sekolah yang sedang bersiap untuk layak ke Piala Dunia U17 FIFA. Mereka ini prospek ke Piala Dunia FIFA 2030, itu pun kalau serius ingin ke Piala Dunia," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram