Kejayaan di JDT motivasi buat saya bersama Harimau Malaya — Mohamed Syamer


  • Podium
  • Rabu, 15 Jun 2022

Mohamed Syamer menyedari kehadiran Pan Gon mampu menyumbang sesuatu dan melakar sejarah bersama skuad kebangsaan. — Agensi

PENGALAMAN bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) meraih slot ke pusingan kalah mati saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) April lepas digunakan sebaiknya pemain tengah Mohamed Syamer Kutty Abba untuk membantu pasukan negara layak ke Piala Asia 2023.

Mohamed Syamer berkata, kejayaan JDT juga menjadi motivasi tinggi kepada pasukan negara yang dibarisi hampir kesemua pemain skuad Harimau Selatan untuk menghadiahkan kejayaan kepada peminat bola sepak tempatan.

Beliau berkata, kejayaan diraih JDT merupakan permulaan kepada peningkatan prestasi skuad Harimau Malaya yang dikendalikan Ketua Jurulatih Kim Pan-gon.

"JDT telah melakukan tugas yang hebat sekali menentang setiap pasukan, kami juara segala-galanya, jadi kami selaku pemain Johor (JDT) tahu benda ini adalah satu langkah permulaan untuk skuad kebangsaan, Johor pun layak, kita (pasukan negara) pun layak, jadi ia bermula daripada bagaimana kita menguruskan segala-galanya.

"Pasukan ini (pasukan negara) orang cakap corak permainannya sedang berubah, kita tengah (cuba) beri satu persembahan untuk mendominasi perlawanan kerana kebanyakan kami, pemain dari Johor,” katanya ketika ditemui selepas aksi Malaysia menentang Bangladesh di Stadium Nasional, Bukit Jalil, pada Selasa.

Pada aksi terakhir Kumpulan E saingan Kelayakan Piala Asia 2023 itu, Malaysia mengesahkan kemaraan secara merit ke Piala Asia selepas menewaskan Bangladesh 4-1 di hadapan 52,964 penonton di Stadium Nasional yang merupakan gelanggang keramat pasukan negara.

Kemenangan itu menyaksikan skuad bimbingan Pan-gon mengumpul keseluruhan enam mata untuk menamatkan kempen kelayakan di kedudukan kedua di belakang Bahrain, sekali gus mengesahkan kemaraan ke Piala Asia selaku antara lima naib juara terbaik daripada enam kumpulan.

Mohamed Syamer, 24, berkata, kejayaan pasukan negara menamatkan penantian 42 tahun layak secara merit ke Piala Asia adalah permulaan yang baik terutama buat dirinya yang masih muda dan mempunyai perjalanan karier yang panjang.

Sementara itu, beliau dan rakan sepasukan menyedari daripada awal bahawa kehadiran Pan-gon mampu menyumbang sesuatu dan melakar sejarah bersama skuad kebangsaan.

Sebagai rekod, Mohamed Syamer antara pemain diturunkan dalam kesebelasan utama pasukan dalam ketiga-tiga aksi Kumpulan E yang menyaksikan Malaysia menang 3-1 ke atas Turkmenistan, tewas 1-2 kepada Bahrain dan membenam Bangladesh 4-1.

Sebagai rekod kali terakhir Malaysia membuat penampilan di Piala Asia adalah pada 2007 ketika menjadi tuan rumah bersama, namun gagal layak secara merit sejak edisi 1980 di Kuwait. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram