Lama menyepi, kemunculan Syihan Hazmi buat ramai patah hati


  • Podium
  • Khamis, 16 Jun 2022

Syihan Hazmi menjadi sebutan selepas membuat kemunculan baru-baru ini.

NAMA penjaga gol, Syihan Hazmi menjadi sebutan semula selepas aksinya bersama pasukan kesebelasan mengalahkan Bangladesh dalam aksi akhir Kumpulan E pada Selasa.

Persembahan cemerlang beliau turut mengangkat kerjayanya semula dan meletakkan dirinya sebaris dengan nama pemain kegilaan wanita sekarang.

Selain aksi hebat di atas padang, rata-rata peminat khususnya golongan wanita memuji wajah tampan beliau yang dikatakan persis aktor Thailand.

Bagaimanapun tidak kurang juga ada yang meluahkan rasa kecewa apabila mengetahui pemain bola sepak Negeri Sembilan itu sudah berumah tangga dan memiliki cahaya mata perempuan.

"Aku dengan mak beriya-beriya tengok Instagram, tapi rupanya dah jadi laki orang.

"Betul kata suami aku semalam, 'keeper' ini mesti viral sebab hensem (kacak). Jadi, memang betul," ulas warganet.

279230073_391856562890148_5246710395306931796_n

Syihan Hazmi bersama pasukan Negeri Sembilan.— Instagram Syihan Hazmi,

Berkat usaha dan kesabaran beliau itu secara tidak langsung membantunya untuk keluar daripada 'dunia' kegelapan selepas berdepan dengan kesalahan doping pada 2018.

Situasi itu sekali gus menenggelamkan peluangnya untuk terus beraksi apabila digantung selama 20 bulan selepas hasil ujian sampel B diperoleh.

Lebih merumitkan keadaan apabila beliau yang ketika itu baharu sahaja membuat kemunculan bersama pasukan Negeri Sembilan terpaksa berdepan dengan pembatalan kontrak.

Pemain berusia 26 tahun itu kemudian membuat kemunculan pada 2020 menerusi pasukan PJ City. Namun, sayangnya persaingan antara Kalamullah Al Hafiz melenyapkan impian beliau untuk muncul di atas padang.

Bagaimanapun, langit gelap yang menyelubungi beliau bagaikan sudah berlalu dan kini dirinya perlu bersedia untuk berdepan dengan cabaran Piala Asia 2023.

Semoga kerjaya beliau dalam sukan bola sepak terus bersinar dan kekal mengharumkan nama negara di mata dunia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram