Cheng Hoe ubah corak permainan Harimau Malaya tapi Pan-gon berjaya kerana lebih tegas


  • Podium
  • Rabu, 15 Jun 2022

HARIMAU Malaya kini menjadi tumpuan selepas layak ke Piala Asia.

RAMAI yang memuji Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon selepas pasukan kendaliannya layak ke Piala Asia.

Malah, ada yang menyifatkan corak permainan Harimau Malaya berubah selepas berada di bawah Pan-gon.

Namun, pemerhati bola sepak, T. Avineshwaran pula bertanggapan corak permainan Harimau Malaya kini sebenarnya mula berubah ketika di bawah kendalian bekas jurulatih, Tan Cheng Hoe lagi.

"Ketika itu semua boleh lihat keyakinan pemain kita terhadap kawalan bola, sentiasa membuat hantaran yang cepat dan cantik serta kerap membuat asakan.

"Memang corak sebegitu sangat sesuai dengan pemain kita dan corak yang sama juga dipamerkan Kedah ketika dia (Cheng Hoe) menjadi jurulatih pasukan itu," katanya.

286972724_718881895851716_1409216761129407774_n

Aksi pemain negara sewaktu bertemu Bangladesh baru-baru ini. — Facebook/FAM

Harimau Malaya di bawah kendalian Cheng Hoe pada 2019, kata Avineshwaran, memberi kita keyakinan dan harapan terutamanya ketika bertemu UAE dengan keputusan tewas tipis 1-2 serta menang ketika bertemu Thailand, 2-1.

Keputusan itu katanya, membuatkan ramai sedar bahawa ada sesuatu yang sedang dicipta oleh Cheng Hoe bersama skuad bola sepak kebangsaan.

"Corak bola sepak yang kita main sekarang ada pengaruh Cheng Hoe. Sama ada kecil atau besar, dia membuatkan kita sedar yang pemain Harimau Malaya mempunyai kemahiran tenikal dan taktikal.

"Kemudian pandemik Covid-19 mula melanda dunia dan itu yang memberi kesan kepada pasukan negara," katanya.

Dalam pada itu, ditanya sama ada Cheng Hoe boleh membawa pasukan negara sama seperti Pan-gon, Avineshwaran berkata, perkara itu boleh jika Cheng Hoe tegas dengan keputusannya.

287391110_718881475851758_5985430295392632512_n

Kesebelasan utama skuad Harimau Malaya di bawah kendalian Kim Pan-gon. — Facebook/FAM

"Pan-gon meminta banyak perkara untuk membimbing skuad negara dan itu telah dipenuhi. Cheng Hoe sepatutnya melakukan perkara sama dan ketegasan adalah amat penting jika kita mahukan perubahan.

"Selain itu, Pan-gon mempunyai hubungan yang rapat dengan pemain walaupun dalam tempoh yang singkat. Saya harap apa yang diinginkan Pan-gon untuk pasukannya dapat dipenuhi oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)," katanya.

Untuk rekod, Harimau Malaya berada pada kedudukan ke-178 dunia di dalam ranking FIFA pada Mac 2018 dan pasukan negara, di bawah kendalian Cheng Hoe mula mengorak langkah dengan deretan keputusan positif sepanjang tahun tersebut.

Antara kejayaan pada tahun tersebut adalah muncul naib juara Piala AFF, selain beberapa keputusan positif dalam perlawanan persahabatan menentang Bhutan dan Fiji yang berada di ranking lebih tinggi.

2019 pula dianggap sebagai tahun terbaik buat Cheng Hoe bersama pasukan negara. Bermula dengan kejayaan menewaskan Afghanistan 2-1 di Airmarines Cup, pasukan negara secara keseluruhan merekodkan sembilan kemenangan daripada 13 perlawanan yang dilalui sepanjang tahun itu termasuk enam perlawanan kelayakan Piala Dunia/Piala Asia.

Antara kemenangan yang paling diingati ialah ketika pasukan negara menewaskan seteru serumpun, Indonesia 3-2 di Stadium Gelora Bung Karno pada 5 September 2019. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram