'Dah beli tiket nak support team, tapi tempat duduk pula tiada'


  • Podium
  • Khamis, 16 Jun 2022

Sebahagian daripada penyokong setia Sabah FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah.

TIDAK dinafikan sokongan penyokong memang membantu dalam meningkatkan moral dan mutu permainan sesebuah pasukan bola sepak.

Malah, Ketua Jurulatih skuad bola sepak negara, Kim Pan-gon juga sebelum ini mengakui kepentingan sokongan daripada penyokong yang dianggap sebagai pemain ke 12 dalam sesebuah pasukan.

Namun, berbeza pula bagi penyokong Sabah FC, yang mengakui kecewa dengan pengurusan stadium yang dilihat tidak mengawal kemasukan penyokong dengan cara sepatutnya.

"Trauma sudah selepas beli tiket grandstand dua kali berturut-turut, tetapi kerusi tetap penuh. Tidak kisah harga berapa (sebab kami ini tidak kaya, cuma mahu sokong pasukan sendiri) tetapi tidak logik beli tiket RM45 dan perlu berdiri sepanjang perlawanan. Itu belum kira kos yang diperlukan penyokong untuk ke stadium," katanya.

44_DSCF9129FTC1-1

Penyokong teruja dengan aksi Sabah FC yang kini berada dikedudukan kedua dalam Liga Super. — Sabah FC

Menurut penyokong itu, dia menasihatkan penyokong supaya membeli tiket yang paling murah kerana tiket di kawasan grandstand akan penuh terutamanya selepas perlawanan memasuki separuh masa kedua.

Jelasnya, kebanyakan penjaga tiket akan mula hilang selepas perlawanan memasuki separuh masa kedua di mana akhirnya ia membuatkan penyokong mula membanjiri kawasan grandstand.

"Mana tahu beli tiket murah kita dapat masuk percuma ke kawasan grandstand ketika separuh masa kedua.

"Saya minta maaf tapi inilah realiti, kita hadir beri sokongan pada pasukan tetapi jadi begini. Harap situasi ini dapat ditingkatkan lagi selepas ini," katanya.

47_DSCF9196FTC1

Antara aksi pemain Sabah FC sewaktu bermain di Stadium Likas. — Sabah FC

Untuk rekod, Stadium Likas di Kota Kinabalu, Sabah telah menetapkan harga baharu buat penyokong iaitu tiket bermula RM15 hingga RM32.

Harga baharu itu dianggap murah berbanding sebelum ini sekaligus dilihat mampu menarik lebih ramai penyokong untuk hadir ke stadium.

Dalam pada itu, Sabah FC yang kini berada di tangga kedua dalam liga Super akan meneruskan saingan dalam liga menerusi perlawanan menentang Sri Pahang FC (18 Jun), Selangor FC (28 Jun) dan Negeri Sembilan FC (3 Julai). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram