SATU video yang memaparkan pergaduhan berlaku di hadapan sebuah restoran menjadi tular selepas ia dimuat naik ke Twitter pada Selasa.
Ketua Polis Daerah George Town, Asisten Komisioner Soffian Santong mengesahkan insiden itu dan seorang lelaki berusia 29 tahun telah ditahan kerana mencederakan seorang lelaki ketika mabuk.
"Pada Selasa pukul 9.37 pagi, video berdurasi 38 saat dimuat naik di Twitter menunjukkan dua lelaki bergaduh di hadapan sebuah restoran.
"Polis mendapati kejadian berlaku pada Isnin pukul 12.30 pagi di Lebuh Chulia di Georgetown, Pulau Pinang.
"Siasatan mendapati, punca kejadian disebabkan mabuk dan berlaku pertengkaran mulut setelah suspek dikatakan menegur mangsa secara kasar," kata Soffian.
Video pergaduhan dua lelaki di hadapan restoran yang tular di media sosial.
Menurutnya, laporan polis dibuat oleh mangsa yang merupakan warga asing berusia 40 tahun di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut berhubung kejadian.
"Mangsa mendakwa suspek menyerangnya menggunakan botol minuman lalu menyebabkan dirinya mengalami kecederaan di muka,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Soffian berkata, lelaki itu akan direman selama empat hari sehingga Jumaat untuk siasatan lanjut. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram