SETELAH mencatat kejayaan di pentas penuh prestij Anugerah Juara Lagu ke-36 (AJL36) pada Mac lalu menerusi gandingan mantap, Shila Amzah dengan lagu Pelukan Angkasa, band Sekumpulan Orang Gila (SOG) nyata membuka mata banyak pihak tentang kehadiran mereka dalam industri hiburan tanah air.
Sejak itu, kumpulan yang dianggotai oleh Raja Nazrin Shah sebagai vokalis, pemain gitar; Raja Nazmin Shah (pemain drum) Riko Agus (vokalis), Abdul Qayyum (bass), Amsyar Saiful (gitar) dan M.K. Ridzuan (seruling dan gendang) mengakui menerima banyak undangan persembahan dalam negeri dan juga antarabangsa.
Jelas Raja Nazmin Shah, perubahan itu menyebabkan mereka terpaksa menolak beberapa tawaran termasuk lakonan kerana terikat dengan pertunjukan persembahan.
"Selepas AJL selesai, boleh dikatakan kami tidak menang tangan untuk membuat persembahan lebih-lebih lagi ketika bulan Ramadan dan Aidilfitri lalu.
"Ada juga saya dan abang (Raja Nazrin Shah) menerima tawaran berlakon sebagai watak adik beradik, tetapi terpaksa ditolak. Maaf kepada peminat yang ingin lihat kami berlakon," katanya ketika ditemui di majlis Pelancaran Sound Circus Festival pada Rabu.
Perkara itu juga menyebabkan Raja Nazmin Shah bersama anggota lain tidak mahu terburu-buru kerana bimbang gagal memberikan kualiti terbaik kepada peminat.
"Sekiranya boleh memang nak ambil semua, tetapi kami bimbang sekiranya apa diberikan nanti tidak menepati kehendak pendengar. Jadi, sebaiknya kami mengatur langkah satu persatu," ujarnya mengenai kumpulan yang telah ditubuhkan sekitar 2005.
Perjuangan muzik sejak di bangku sekolah itu diteruskan bukan sahaja di Malaysia bahkan turut ke peringkat antarabangsa seperti Amerika Syarikat.
Bagaimanapun, peluang tersebut terpaksa dilepaskan kerana tidak memiliki dana yang cukup memandangkan SOG masih bergerak sendiri tanpa bergantung pada mana-mana pihak.
"Setiap keputusan yang diambil perlu dilakukan dengan teliti agar tidak tersalah langkah. Persembahan di luar negara itu memerlukan modal besar dan kami masih tidak mampu.
"Disebabkan itu fokus sekarang lebih tertumpu kepada persembahan 'domestik' sahaja," terang Raja Nazrin Shah.
Setelah berjaya mencatat kejayaaan dengan Shila Amzah, SOG merancang untuk melancarkan dua lagi lagu duet bersama penyanyi Tam Spider dan Asmindar.
"Tajuk dan lagunya perlu tunggu kerana hanya peminat yang sudah memiliki album fizikal kami yang dilancarkan pada tahun lalu sahaja mengetahuinya.
"Corak muzik kekal sama dan saya mengharapkan agar peminat memberikan sokongan padu terhadap single seterusnya dari kami nanti," tambahnya.
Dalam pada itu, SOG juga akan membuat persembahan di acara kemuncak Art Of Speed Malaysia (AOSM), Sound Circus Festival pada 2 dan 3 Julai 2022 di Tapak Ekspo Pertanian Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).
Antara nama lain yang turut membuat persembahan seperti Kumpulan Tangan Hitam, Late Night Frequency, Prasasti, Sweetass, King l Balok People, Iqbal M. Sekumpulan Orang Gila, dan Hujan.
Monotones, Budak Nakal Hujung Simpang, Kugiran Di Tepi Pantai, Akeem Jahat, Ical Mosh, Armpunk Sindicate, Jemson dan The Times.
Tiket dijual pada harga RM33, RM55, RM90 dan RM110 serta boleh didapati menerusi aos2022.qtic.my. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram