PRESIDEN Indonesia, Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi pada Rabu mengumumkan rombakan Kabinet.
Pengumuman itu sekali gus melantik Menteri Perdagangan baharu, berikutan kontroversi tentang beberapa siri 'flip-flop' dasar berkaitan eksport minyak sawit.
Dalam satu majlis rasmi di Istana Negara, Jokowi melantik Zulkifli Hasan, iaitu Pengerusi Parti Amanat Nasional (PAN) dan bekas Menteri Perhutanan sebagai Menteri Perdagangan.
Rombakan itu dibuat selepas bekas Menteri Perdagangan, Muhammad Lutfi berdepan dengan tekanan politik berkaitan usaha dasar untuk membendung lonjakan harga minyak masak domestik, termasuk larangan mengejut ke atas penghantaran minyak sawit daripada pengeksport terbesar dunia itu.
Lufti menunding jari kepada 'mafia kelapa sawit' kerana menjejaskan usaha membendung harga minyak masak, selepas larangan mengejut ke atas eksport minyak sawit pada April.
Larangan eksport selama tiga minggu yang ditarik balik pada 23 Mei, menyebabkan gelombang kejutan di pasaran global selain membawa kepada beberapa siri tangkapan kerana dakwaan rasuah, sebaik sahaja peguam negara melancarkan siasatan.
Sementara itu, pemerhati politik tidak menolak kemungkinan Presiden juga berhasrat untuk melantik anggota PAN ke dalam Kabinetnya, selepas parti itu yang mempunyai kaitan dengan tokoh pembangkang terkenal, Amien Rais menyertai pakatan pemerintah tahun lalu.
Jokowi kini sedang menjalani penggal kedua. Beliau juga mengumumkan perubahan dalam Kementerian Agraria dan Tata Ruang/Badan Pertahanan Nasional, dengan melantik bekas ketua tentera, Hadi Tjahjanto.
Malah, beliau juga melantik tiga Timbalan Menteri kepada Kementerian Tenaga Kerja, Perancangan Spatial dan Hal Ehwal Dalam Negeri. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram