GEMPAR di seluruh negara apabila sejumlah besar golongan pendidik mengambil keputusan untuk menamatkan perkhidmatan lebih awal daripada usia bersara wajib.
Situasi yang dilalui membentuk senario membimbangkan dalam kalangan pelbagai pihak sehinggakan ada yang risau ia mengakibatkan negara ini berdepan masalah kekurangan guru.
Walau apa juga yang berlaku, keputusan telah dibuat dan guru-guru berkenaan telah memutuskan untuk menandatangani dokumen bersara awal bagi meneruskan kehidupan mengikut perancangan masing-masing.
Faktor umur dan komitmen lain yang lebih utama adalah antara punca guru berkenaan memilih untuk bersara awal.
Rohani Abdullah sewaktu bersama bekas anak-anak muridnya ketika menghadiri majlis Aidilfitri baru-baru ini.
Salah seorang guru berkenaan adalah Rohani Abdullah, 53, apabila memutuskan untuk berbuat demikian kerana mahu menjaga ibunya yang uzur akibat kanser usus.
"Keputusan itu dibuat kerana saya perlu menghantar dan mengambil ibu di pusat rawatan dialisis dari pukul 11 pagi sehingga 3 petang pada setiap Selasa dan Khamis.
"Saya tidak mahu giliran saya mengambil ibu menjadi isu dalam kalangan guru lain dan sebab itu saya pilih untuk bersara dua tahun lebih awal," katanya yang memegang jawatan terakhir selaku Penolong Kanan di Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional di Kuantan, Pahang.
Menurut Rohani, keputusannya untuk bersara awal memang tiada sebab lain selain menjaga ibunya yang kini berusia 78 tahun.
Malah, sebelum bersara, dia juga telah memaklumkan perkara itu kepada adik beradiknya yang lain dan mendapat persetujuan bersama.
"Alhamdulillah, adik beradik yang lain semua bekerja dan tinggal berdekatan dengan saya di Kuantan, Pahang, dan mereka setuju jika saya berhenti kerana mahu menguruskan keperluan seharian ibu," katanya yang lega dapat menguruskan hal berkaitan ibunya tanpa mengganggu tugasnya lagi.
Ditanya mengenai perbelanjaan hariannya selepas bersara awal, Rohani berkata, dia menggunakan wang simpanannya selama lebih 20 tahun bergelar guru sebagai sumber kewangan harian.
Azaha Awang (duduk, tengah) bersama bekas anak muridnya.
Sementara itu, seorang lagi bekas guru, Azaha Awang, 53, pula memilih untuk bersara awal bagi menjaga anaknya yang disahkan mengalami kanser limfoma.
Menurut Azaha yang kini menetap di Sitiawan, Perak, dia memilih untuk bersara pada Mac lalu dan masih mempunyai baki dua tahun lagi dalam perkhidmatan.
"Saya sebenarnya suka mengajar dan tidak mempunyai masalah dengan bebanan kerja. Bagi saya, apa sahaja kerja pasti akan ada bebanan dan kita mesti sentiasa bersedia," katanya yang juga bekas guru akademik tingkatan enam di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Boestamam, Sitiawan.
Dalam pada itu, ditanya bagaimana dia menguruskan kewangan selepas bersara, Azaha berkata, dia sebelum itu telah merujuk dengan rakan-rakan yang lebih dahulu menamatkan perkhidmatan mereka.
Apa yang dilakukannya adalah dengan menguruskan dahulu pinjaman yang masih berbaki menerusi perbincangan dengan pihak bank.
SMK Ahmad Boestamam lokasi terakhir Azaha Awang mengajar sebelum bersara.
"Selain itu saya tamatkan perkhidmatan yang tidak perlu dan cuba untuk mengamalkan perbelanjaan berhemah.
"Daripada segi tanggungan pula saya mempunyai seorang anak dan dia juga telah bekerja jadi beban itu tidaklah terasa sangat
"Selain itu ada juga bekas guru yang menasihatkan saya untuk tidak terpedaya dengan skim perniagaan mencurigakan bagi mengelak diperdaya," katanya.
Dalam pada itu, Azaha berkata, selepas bersara dia cuba untuk terlibat secara serius dengan kraftangan mengait yang sebelum ini dilakukan sebagai hobi sahaja.
Jelasnya, sebelum ini aktiviti itu banyak dilakukan bersama dengan rakan-rakan di sekolah dahulu dan kini berhasrat untuk mempelbagaikan lagi kemahiran itu.
"Masa mengajar pun saya mengait sebagai terapi diri dan bila dah bersara, saya cuba untuk serius dan hasilkan pelbagai produk berasaskan benang kait untuk dijual sebagai cenderamata.
"Memang lega selepas bersara sebab ada banyak masa yang boleh diperuntukkan untuk keluarga terutamanya menjaga anak yang sakit sehingga dia meninggal dunia pada 31 Mac lalu.
"Seorang lagi anak saya sudah bekerja jadi masa untuk diri saya sendiri pun banyak dan disebabkan itu saya mahu fokus pada hobi mengait saya secara serius," katanya.
Ditanya mengenai bebanan guru sekarang, Azaha berkata, apa sahaja pekerjaan mempunyai tanggungjawab dan beban yang perlu dipikul, bagaimanapun dia bersyukur kerana dirinya tidak tertekan sepanjang tempoh berkhidmat dalam dunia pendidikan.
"Saya seorang yang suka mengajar dan dalam apa juga pekerjaan pasti akan ada beban dan itu adalah lumrah," katanya yang lebih tenang kini.
Zunnajah Mohd. Yusuf (empat dari kanan) bersama rakan guru di sekolah tempat dia mengajar.
Seorang lagi guru, Zunnajah Mohd. Yusuf berkata, dia memilih untuk bersara ketika berusia 58 tahun kerana faktor kesihatan dirinya.
"Masa buat keputusan untuk bersara lebih awal, memang saya fikir kesihatan diri sendiri dan kemampuan untuk bekerja setakat pada usia 58 tahun sahaja.
"Kalau tanya mengenai bebanan kerja, bagi saya tiada masalah. Mungkin ada guru lain yang bersara awal mempunyai sebab sebegitu," katanya yang mengajar di SMK Sultan Abdullah, Chenderong Balai, Perak.
Jelas guru akademik tingkatan enam ini, kebanyakan rakan yang bersara awal kerana faktor fizikal terutama melibatkan kesihatan.
Tambahnya, dengan komitmen bulanan yang ada, memang sukar untuk seorang guru bersara awal dan keputusan itu dibuat jika betul-betul perlu berbuat demikian.
"Macam saya sendiri memang sejak awal lagi sudah merancang mahu bersara pada usia 58 tahun jadi segala komitmen perbelanjaan kita sudah rancang lebih awal untuk mengelak sebarang masalah.
"Lagipun bila bersara, masa saya bersama dengan keluarga lebih banyak dan dapat uruskan perkara lain. Tetapi saya tidak terus tinggalkan sekolah, jika ada apa-apa majlis dan saya dipanggil untuk turut serta, saya pasti datang," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram