Tiga sahabat edar dadah dijatuhi hukuman gantung


Tertuduh, Mohd Nazri Mohamed, 38, (dua dari kiri), Ismail Jusoh, 47, (dua dari kanan) dan Mat Zainudin Mansor, 38 (tengah) dijatuhi hukuman mati selepas didapati bersalah mengedar dadah pada 2018. — Awani

TIGA sahabat dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Kelantan pada Ahad selepas didapati bersalah mengedar 134.6 gram dadah jenis metamphetamine di kawasan sawah padi di Kampung Bendang Keladi, Batu Gajah, Tanah Merah, empat tahun lalu.

Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Nazri Mohamed, 38, Ismail Jusoh, 47, dan Mat Zainudin Mansor, 38.

Wan Ahmad Farid dalam alasan penghakimannya menjatuhkan hukuman itu selepas ketiga-tiga tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pihak pendakwaan di akhir kes pembelaan.

Mahkamah menurut beliau tidak mempercayai keterangan semua tertuduh kerana semasa tangkapan mereka bertiga berada di wakaf itu dengan dadah tersebut berada di atas meja di wakaf berkenaan.

Mahkamah juga menganggap tertuduh mereka cerita sedangkan mereka tahu berkaitan dadah terbabit.

Ini dibuktikan lebih jelas apabila mereka melarikan diri dan kerana itu ketiga-tiga tertuduh didapati bersalah dan disabitkan dengan pertuduhan serta dihukum gantung sampai mati.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Khairul Anuar Wahab manakala tertuduh diwakili peguam masing-masing.

Mengikut pertuduhan pertama, mereka didakwa secara bersama mengedar 134.6g dadah jenis metamphetamine di Kampung Bendang Keladi, Kelantan pada pukul 2.30 petang pada 21 Mac 2018.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Dalam perkembangan sama, mereka turut dijatuhi hukuman penjara enam bulan selepas didapati bersalah kerana memiliki racun caffiene seberat 9.2g pada masa tarikh dan tempat yang sama mengikut Seksyen 9(1) Akta Racun 1952.

Mereka turut dihukum penjara enam bulan terhadap pertuduhan pindaan secara berasingan mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah jenis metamphetamine sebanyak 0.19g (Mat Zainudin), 0.2g (Mohd Nazri) dan 0.3g (Ismail) pada tarikh dan lokasi sama.

Mahkamah memutuskan kesemua hukuman penjara tersebut berkuat kuasa serentak dari tarikh kesemua tertuduh ditangkap. — Astro Awani

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram