Menyampah terpaksa key-in data antara 3 punca utama guru bersara awal — NUTP


  • Primer
  • Isnin, 13 Jun 2022

NUTP turut menegaskan tugas utama seorang guru adalah untuk mendidik pelajar.

POLA guru bersara awal nampaknya semakin merisaukan apatah lagi Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menganggarkan lebih 10,000 permohonan dibuat untuk bersara awal.

Dapatan itu adalah berdasarkan jumlah tuntutan tabung kebajikan bagi guru yang bersara dan bilangan itu semakin meningkat saban tahun walaupun Kementerian Pendidikan (KPM) mengesahkan kira-kra 4,360 guru bersara awal bagi tahun lalu.

Setiausaha Agung NUTP, Wang Heng Suan berkata, kebanyakan guru yang bersara awal adalah dalam kalangan wanita berusia 50 tahun ke atas.

National Union of the Teaching Profession (NUTP) secretary-general Wang Heng Suan said more than 90% of teachers in Malaysia have been vaccinated.

Setiausaha Agung NUTP, Wang Heng Suan

"Ramai yang bersara awal adalah guru yang berpengalaman dalam dunia perguruan dan ini sudah tentu sesuatu yang merisaukan.

"Memang kita puji KPM telah melakukan pengambilan khas guru baharu secara one-off sehingga mengambil 18,000 guru baharu tetapi mereka tidak mempunyai pengalaman dan masih memerlukan guru lama untuk bimbingan," katanya.

Menurut Wang, disebabkan itu juga pihaknya merasakan perlu diwujudkan satu jawatan sebagai pembantu guru untuk mengurangkan beban guru-guru yang sudah lama berkhidmat dan ianya telah dikemukakan untuk pertimbangan kerajaan.

Menerusi kewujudan pembantu itu katanya akan mengurangkan beban seorang guru gaji mereka sebenarnya dibayar untuk mengajar dan bukannya melakukan perkara lain seperti memuat naik data dan sebagainya.

Berikut adalah tiga sebab utama kenapa kebanyakan guru memilih untuk bersara awal.

Sakit

Kebanyakan guru yang bersara awal adalah dalam kalangan wanita berusia lebih 50 tahun dan keputusan dibuat atas faktor kesihatan.

Ada guru yang mempunyai masalah tekanan darah tinggi, sakit sendi dan sebagainya yang menyebabkan kemampuan mereka untuk bekerja semakin berkurangan.

Ditambah lagi dengan tuntutan kerja selain daripada mengajar di kelas tetapi juga perlu menyiapkan laporan tugasan hingga membuatkan guru yang mempunyai penyakit nekad untuk memilih bersara awal.

Kerja perkeranian dan teknologi

Kerja-kerja perkeranian seperti memasukkan maklumat tertentu dengan menggunakan sistem teknologi membuatkan ramai guru berasa menyampah.

Malah, bukan semua guru terutamanya yang telah berusia mempunyai kemahiran tinggi bila melibatkan teknologi dan ini menyukarkan mereka.

Kebanyakan guru mengakui memang suka mengajar tetapi disebabkan beberapa kerja kerani yang perlu diselesaikan tanpa mengira siang dan malam membuatkan mereka bosan.

Kerenah birokrasi

Satu lagi penyebab yang menjadi punca guru bersara awal adalah disebabkan kerenah birokrasi.

Ada guru yang secara tiba-tiba ditukarkan tanpa sebab dan ini menimbulkan rasa tidak puas hati yang akhirnya membawa kepada guru memilih bersara awal.

Perkara ini membuatkan guru menjadi bertambah tertekan dan akhirnya memilih untuk keluar daripada bidang perguruan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram